Lori Pembersih Jalan RM500,000 Atasi Kekotoran

KOTA BHARU, 27 Feb (Hrkh) - Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap kebersihan di kawasan pentadbirannya termasuk membeli empat lagi lori pengangkut sampah bernilai RM160,000 sebuah.

Selain itu, sebuah kenderaan pembersih jalan yang bernilai RM500,000 turut ditempah.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Wilayah, Takiyuddin Hassan berkata, kenderaan tersebut akan tiba tidak lama lagi.

Katanya, MPKB turut menyediakan lebih banyak lagi tong-tong sampah di jalan besar untuk memudahkan orang ramai membuang sampah.

Selain itu, pekerja-pekerja kontrak diambil untuk mengatasi masalah longgokan sampah, meningkatkan penyeliaan kebersihan, kempen kebersihan di kalangan pelajar dan pengkuatkuasaan denda terhadap mereka yang membuang sampah di merata tempat.

Menjawab soalan Mejar (B) Mohd Anizam Abdul Rahman (PAS - Kemahang) pada persidangan Dun semalam, beliau berkata, kempen menjaga kebersihan di kalangan pelajar juga sedang giat dijalankan.

Ketika menjawab soalan tambahan Haji Wan Othman Wan Yusof (PAS - Tendong), katanya, penswastaan kerja mengangkut sampah hanya dilakukan di tempat-tempat tertentu sahaja. "Tidak semua kerja-kerja membersih sampah diswastakan," katanya.

Takiyuddin juga ketika menjawab soalan tambahan Haji Zakaria Yaakub (PAS - Banggol Judah) berkata, selain kempen menjaga kebersihan secara fizikal, aspek rohaniah turut diambil berat.

Menurutnya, gejala sosial dan kegiatan kurang bermoral turut diberi perhatian dengan mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.

Adun Bukit Tuku, Ustaz Yusof Abdullah pula mencadangkan kerajaan negeri tidak memberi tumpuan hanya kepada MPKB bagi mengatasi masalah kebersihan.

Beliau menanyakan soalan tambahan untuk meminta kerajaan memastikan majlis-majlis daerah lain turut mempunyai lori pengangkut sampah, yang masih tidak mencukupi.

Menurutnya, Bandar Pasir Mas dan Rantau Panjang juga tidak kurang menghadapi masalah kebersihan
.



Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan