Sidang Khas: Rakyat Pertahan Hasrat Kerajaan 

 

KOTA BHARU, 23 - Rakyat daripada pelbagai peringkat di negeri ini menyokong penuh keseriusan kerajaan negeri meminda perlembagaan negeri bagi menyelaras dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan, sebelum 30 April ini. 

 

Bermula dari wakil rakyat, pemimpin badan bukan kerajaan dan pegawai kerajaan, swasta, petani, peladang, penternak, pengayuh beca, peniaga dan orang perseorangan mendokong penuh cadangan tersebut. 

 

Menurut mereka, sudah tiba masanya kerajaan melakukan penyelarasan tersebut bagi mengurangkan campurtangan istana terhadap jentera pentadbiran kerajaan negeri. 

 

Adun Ketereh, Ashaari Mamat berkata, usaha yang bakal dilakukan kerajaan adalah menyelaras Undang-Undang Tubuh Negeri sama seperti dilakukan negeri-negeri lain. Katanya, negeri lain sudah lama melakukan penyelarasan tersebut dan Kelantan juga perlu mengikutnya.

 

"Penyelarasan yang dilakukan untuk melancarkan lagi jentera pentadbiran kerajaan negeri dan mengelakkan campur tangan pihak bukan eksekutif," katanya. 

 

Baru-baru ini, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu kerajaan Kelantan akan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri khas sebelum 30 April ini bagi meminda perlembagaan negeri. 

 

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat khas Exco. Penyelarasan yang perlu dilakukan iaitu berkaitan Perkara 15 (1) dan 39 (3) Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan. Perkara tersebut berkaitan 'atas nasihat' Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terhadap Sultan dan rang undang-undang akan menjadi undang-undang dalam tempoh 30 hari tanpa diperkenankan sultan. 

 

Penyelia Dun Galas, Che Hashim Sulaima berkata, kerajaan yang dipilih rakyat perlu diberi kuasa sepenuhnya untuk melaksanakan tanggungjawab. "Tugas dan tanggungjawab kepada rakyat hanya akan dapat dicapai sekiranya tiada gangguan pihak lain terhadap jentera pentadbiran kerajaan," katanya. Oleh itu, dengan pindaan yang dilakukan itu, ia akan dapat menjelaskan lagi fungsi di antara kerajaan dan istana. 

 

Presiden Pengetua Sekolah-Sekolah Bantuan Yayasan Islam Kelantan, Ustaz Zulkefli Zakaria berkata, sudah sampai masanya kerajaan negeri melakukan pindaan terhadap perlembagaan negeri untuk memberi kuasa penuh kepada kerajaan pilihan rakyat. Katanya, pindaan itu dapat menjelaskan tanggungjawab sebenar di antara kerajaan negeri dan istana. 

 

Bekas Adun Guchil, Wan Hassan Wan Yusof berkata, campurtangan di luar kebiasaan pihak tertentu terhadap jentera kerajaan negeri perlu dihentikan kerana mengganggu kelancaran pentadbiran. Katanya, sepatutnya Menteri Besar dan Exco mengetuai jentera pentadbiran kerajaan dan bukan pihak lain. "Namun apa yang berlaku sekarang adalah di sebaliknya, di mana pihak lain lebih menguasai jentera pentadbiran kerajaan," katanya. 

 

Seorang peniaga Musa Amin berkata, sudah banyak insiden yang berlaku membabitkan pegawai tadbir negeri (PTN), membelakangkan kerajaan negeri pilihan rakyat. Katanya, pernah berlaku beberapa tahun lalu, pegawai kerajaan negeri bertindak keluar dari Dewan beramai-ramai ketika persidangan sedang berlangsung. Menurutnya, tindakan kurang sopan seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana mereka berkhidmat di bawah kerajaan negeri yang dipilih majoriti rakyat. 

 

Ismail Abdullah dari Lundang pula berkata,, adalah amat wajar sekali kerajaan negeri menyegerakan penyelarasan Undang-Undang Tubuh Negeri dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan. Katanya, selagi pindaan itu tidak dilakukan, pegawai tadbir negeri berkuasa untuk melakukan apa sahaja kerana mereka berkiblatkan pihak lain. "Rakyat Kelantan begitu malu dengan tindak tanduk PTN sebelum ini, termasuk menganjurkan majlis hiburan di sebuah hotel tahun lalu, sehingga menimbulkan bantahan ribuan rakyat," ujarnya.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan