Penduduk Buat Laporan Polis Terhadap DO Kuala Krai

KOTA BHARU, 19 Feb - Lebih 100 penduduk Kuala Krai membuat laporan polis terhadap Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Kuala Krai Utara, Dato' Fuad Hassan, berhubung dakwaan keengganannya mematuhi arahan Exco. 

Wakil Rakyat Dun Guchil, Ustaz Zulkefli Yaakob berkata, penduduk tidak berpuas hati terhadap YDP berkenaan kerana tidak membenarkan Padang Kemahkotaan di Kuala Krai dijadikan tempat berceramah, sedangkan kelulusan Exco sudah diperolehi. 

Katanya, Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Wilayah, Takiyuddin Hassan sudah mengeluarkan surat membenarkan padang tersebut digunakan bagi tujuan ceramah. "Ketika permohonan mula-mula diajukan kepada YDP terbabit, dia enggan meluluskan. Ekoran itu, pihak penganjur mendapatkan kelulusan di pihak lebih tinggi iaitu Exco. 

"Bagaimanapun setelah mendapatkan surat kebenaran daripada Exco, YDP terbabit masih enggan meluluskannya. "Ekoran itu, saya sendiri datang berjumpa dengan Dato' Fuad pada pagi Khamis dan setelah ditanya sebab-sebab kengganannya mematuhi arahan Exco, akhirnya dia mengalah dan bersetuju untuk membenarkan menggunakan Padang Kemahkotaan," katanya pada ceramah di Kampung Kor, Kadok, malam tadi. Hadir sama pada ceramah itu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh, Adun Meranti, Ustaz Nasaruddin Daud, Adun Kadok, Ahmad Shukri Abdul Rahman dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Zaki Ibrahim. 

Bagaimanapun menurut Ustaz Zulkefli, pada pagi Jumaat sehari sebelum ceramah berlangsung, YDP terbabit menefon pihak polis dan membatalkan semula kelulusan menggunakan padang tersebut. Katanya, ekoran pembatalan tersebut polis mengarahkan supaya ceramah dipindahkan ke tempat lain iaitu di Jalan Geale. Ceramah tersebut dihadiri Penyelia Parlimen Gua Musang, Haji Abdul Razak Abbas dan Ustaz Zulkefli pada malam Sabtu. 

Menurutnya, penduduk Kuala Krai amat tidak berpuas hati dengan tindak tanduk YDP berkenaan kerana enggan mematuhi arahan kerajaan negeri. "Pegawai terbabit membuat tiga keputusan mengenai penggunaan padang berkenaan iaitu pada mulanya tidak meluluskan, kemudian membenarkan dan kembali tidak meluluskan. "Sekiranya keadaan ini berterusan berlaku, adalah patut kita cadangkan kepada kerajaan supaya semua jawatan YDP majlis-majlis daerah di negeri ini diserahkan kepada orang politik," katanya sambil mendapat respon segera daripada orang ramai tanda bersetuju. 

Sementara itu, di KUALA KRAI, seorang penduduk Shokordey Mohamad mewakili kira-kira 100 penduduk membuat laporan polis berhubung tindak tanduk Ketua Jajahan berkenaan yang gagal mematuhi arahan Exco. Menurutnya, tindakan pegawai kerajaan membantah keputusan Exco adalah suatu kelakuan tidak wajar dan bercanggah dengan etika perkhidmatan. 

Katanya, tindakan pegawai berkenaan boleh menimbulkan keresahan orang awam dan khuatir menimbulkan rasa tidak tenteram di kalangan masyarakat. "Oleh itu, saya mewakili rakyat tempatan membuat laporan polis supaya satu siasatan terhadap Dato' Fuad selaku Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Krai Utara dan Ketua Jajahan Kuala Krai dilakukan," katanya.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan