Mazlan Jusoh 

Polis Perlu Bebas Dari 'Orang Politik' 

JELI, 22 Feb - PAS meminta anggota keselamatan terutamanya pasukan polis membebaskan diri daripada belenggu 'orang politik' dan melaksanakan tugas mengikut konsep 'Mesra Rakyat' yang dicanangkan sebelum ini. 

Begitu juga sebaliknya, orang politik hendaklah membebaskan diri daripada pasukan polis dan memberi peluang mereka melaksanakan tugas secara profesional. 

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar berkata, PAS berharap pasukan polis bertindak mengikut kaedah mesra rakyat seperti yang dihasratkan. Bagaimanapun katanya, banyak peristiwa yang berlaku sebelum ini tidak mencerminkan konsep itu. 

"Sebagai contohnya peristiwa 14 Febuari lalu di Kedah, di mana anggota keselamatan digunakan untuk menghalang ceramah parti Barisan Alternatif (BA) sehingga berlaku keadaan kelam kabut. "Pada peristiwa itu pihak polis telah melepaskan gas pemedih mata yang menyebabkan suasana menjadi tidak terkawal," katanya pada ceramah di Bukit Jering, dekat sini, malam tadi. 

Ketua Pergerakan Pemuda KeADILan Pusat, Ezzam Mohd Noor berkata, orang politik sekarang terpaksa menggunakan pasukan FRU untuk berdepan dengan rakyat yang begitu berminat dengan BA. Katanya, setelah menyedari pelbagai taktik yang dilakukan Umno untuk menarik rakyat gagal, maka mereka terpaksa menggunakan polis bagi menghalang rakyat mendekati program anjuran BA. 

"Peristiwa di Kubang Pasu, di mana pihak tertentu kemungkinan mengarahkan polis menembak gas pemedih mata, menyebabkan pendokong kuat Umno di kawasan Dr Mahathir Mohamad marah. "Seorang penyokong Umno dan orang kuat kepada Dr Mahathir cukup marah dengan tindakan polis tersebut. "Rumah penyokong kuat Dr Mahathir itu berkebetulan berdekatan dengan tempat berlangsung ceramah BA, dan dia melihat sendiri tindakan polis yang cukup luar biasa sekali," katanya. 

Ezzam berkata, tindakan polis menghalang ceramah BA dengan kekerasan di Kubang Pasu adalah satu penghinaan terhadap Dr Mahathir sendiri sebagai wakil rakyat di kawasan itu. 

Sementara itu, Mahfuz menafikan beliau sebagai pendesak utama yang menyebabkan pertemuan di antara pemimpin PAS dan Umno dijadualkan 19 Febuari lalu ditangguh. Katanya, beliau adalah wakil tunggal Dewan Pemuda yang berada dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bersama pemimpin-pemimpin lain. 

Menurutnya, tidak mungkin hanya dia seorang mampu mempengaruhi mesyuarat, sedangkan ramai lagi pemimpin lain yang memberi pandangan. "Sekiranya saya mampu mempengaruhi keputusan mesyuarat, bermakna saya bertaraf seperti presiden parti," katanya. 

Menurut beliau, adalah wajar sekali pertemuan tersebut ditangguh memandangkan banyak perkara yang mencerminkan semangat perpaduan tulen dalam negara tidak kelihatan sekarang. 

Katanya, isu Harakah yang dikurangkan penerbitan hanya dua kali sebulan daripada lapan kali dan royalty minyak Terengganu adalah masalah yang tidak mencerminkan Umno berminat ke arah mewujudkan perpaduan nasional. 

"Kita boleh umpamakan seperti pencuri yang mencuri barangan kita dan dia mahu berunding dengan kita pula, sepatutnya dia perlu mengembalikan dahulu barang yang dicuri, sebelum boleh memulakan perundingan," katanya. 

Sehubungan itu, beliau melihat pendapat yang dikeluarkan seorang pemimpin Umno, Dato' Nakhaie Ahmad supaya segala syarat boleh diberitahu semasa perundingan adalah tidak timbul sama sekali. Katanya, syarat yang dinyatakan adalah untuk melihat kesungguhan Umno mengembalikan perpaduan sebenar.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan