Wan Abdul Aziz Wan Mahmud 

Penggerak NGO Perlu Punyai Komitmen Tinggi 

KOTA BHARU, 20 Feb (Hrkh) - Badan-badan bukan kerajaan (NGO) khususnya NGO wanita perlu mempunyai tenaga penggerak di kalangan mereka yang mempunyai semangat gigih dan komitmen tinggi. 

Tokoh akademik, Prof Dato' Dr Nik Safiah Karim berkata, tanpa kesungguhan dan kegigihan di kalangan anggota jawatankuasa, sesebuah NGO tidak mampu untuk bersaing dan bergerak lebih jauh. Katanya, wang sahaja tidak cukup untuk menggerakkan sesebuah NGO terutama di kalangan wanita. 

"Tenaga penggerak sesebuah NGO perlu mempunyai semangat gigih dan komitmen tinggi terhadap badan yang dipimpinnya, wang sahaja tidak memadai untuk menggerakkan sesebuah NGO. "Memanglah NGO perlukan sumber kewangan tetapi jika tenaga penggeraknya tidak mempunyai semangat yang jitu dan rela berkorban, dibimbangi ia hanya mampu bergerak sekerat jalan sahaja," katanya di majlis perasmian Klinik Sehari anjuran Yayasan Pembangunan Wanita Murni Kelantan (Yayasan Murni) dan Persatuan Tindakan Wanita Islam Malaysia (Pertiwi) di Sekolah Kebangsaan Sabak, Pengkalan Chepa, dekat sini, Sabtu lepas. 

Hadir sama di majlis itu Pengerusi Yayasan Murni, Hajjah Siti Aishah Ab Rahman, Setiausahanya, Lin Zainun Che Mahmood, Pengarah projek itu, Dr Rowani Mohd Rawi dan Pengarah Unit Amal An-Nisa' Kelantan, Alami Abdul Halim. 

Hampir 400 penduduk tempatan termasuk kanak-kanak dan golongan lelaki menyertai program berkenaan. Program sehari itu melibatkan lebih 30 anggota sukarelawan yang terdiri daripada pakar dan pegawai perubatan, jururawat terlatih serta pegawai-pegawai farmasi bertauliah dari Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Hospital Kota Bharu dan klinik swasta. 

Program yang melibatkan tiga buah kampung itu turut membabitkan 15 anggota Unit Amal An-Nisa' negeri. Nik Safiah yang juga Penasihat Yayasan Murni turut menggesa NGO wanita supaya mempergiatkan lagi program bagi membantu golongan itu yang teraniaya dan memerlukan sokongan masyarakat. Tokoh Wanita Malaysia 2000 itu turut memuji kejayaan Yayasan Murni menganjur program sumpama itu walaupun baru ditubuh enam bulan lalu. 

"Saya kagum dengan kesungguhan yang ditunjuk oleh tenaga penggerak Yayasan Murni kerana mereka sanggup mengorbankan masa mereka memberi khidmat sukarela kepada mereka yang memerlukan," katanya. 

Sementara itu, Setiausaha Program, Lin Zainun Che Mahmood berkata program julung kali anjuran Yayasan Murni itu bertujuan memberi perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan agihan ubat-ubatan secara percuma kepada orang ramai khususnya penduduk tiga kampung terlibat iaitu kampung Sabak, kampung Tebing Tinggi dan kampung Pulau Gajah. Katanya, ia juga sebagai tanda keprihatinan Yayasan Murni terhadap mereka yang kurang berkemampuan dan tidak mampu untuk mendapat rawatan di hospital. 

Menurutnya lagi, program seperti itu juga memberi peluang kepada badan NGO seperti Yayasan Murni dan Pertiwi untuk turun bersama masyarakat setempat dan memberi khidmat percuma seperti rawatan kesihatan yang melibatkan beberapa tenaga sukarela yang tidak mengharap upah wang ringgit. "Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama tenaga sukarela dan pegawai perubatan serta penduduk kampung yang memberi kerjasama penuh kepada projek ini. 

"Yayasan Murni adalah satu badan NGO yang bergerak secara profesional untuk membantu wanita yang memerlukan khususnya di Kelantan," ujarnya. Sehubungan itu katanya, Yayasan Murni memerlukan sokongan dan sumbangan daripada pelbagai pihak terutama tokoh-tokoh korporat sama ada berbentuk sumbangan tenaga, buah fikiran atau sumbangan wang ringgit. Mereka yang ingin membantu yayasan itu boleh menghubungi di alamat: Tingkat 1, Lot 2925, Batu 2 Jalan Pengkalan Chepa, 15400 Kota Bharu, Kelantan atau menghubungi di talian 09-7742555 atau e-mail: yayasan_murni@yahoo.com.

 

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan