Wan Abdul Aziz Wan Mahmud 

Perpaduan: JK Teknikal Belum Putus Tarikh 

KOTA BHARU, 23 Feb - PAS menegaskan, jawatankuasa teknikal parti itu dan Umno berhubung pertemuan perpaduan nasional tidak pernah menetapkan tarikh pertemuan antara kedua-dua sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini. 

Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata, tarikh pertemuan antara Preseiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor dan Presiden Umno, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamed belum diputuskan oleh jawatankuasa teknikal kedua-dua parti itu. 

Sehubungan itu katanya, PAS melahir rasa kesal dengan telatah pemimpin Umno yang menuding jari kepada parti itu kononnya tidak ikhlas untuk membincangkan isu perpaduan. 

"Tarikh 19 Feb yang diumumkan Presiden Umno tidak diputuskan oleh jawatankuasa teknikal, ia belum diputuskan lagi.. tak berbangkit soal itu, dia yang pandai-pandai umum, sepatutnya (tarikh pertemuan) diserah pada jawatankuasa teknikal," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemandu PAS Pusat, di sebuah hotel di sini, petang semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan berhubung pertemuan perpaduan nasional yang ditangguh sementara ke suatu tarikh yang belum ditetapkan. 

Sebuah akhbar 11 Februari lepas, melaporkan kenyataan Dr Mahathir, kononnya Umno dan PAS bersetuju mengadakan pertemuan peringkat tertinggi kedua-dua parti bagi membincangkan 'apa saja perkara' dan 'tajuk' berkaitan soal penyatuan Melayu. 

Dalam sidang akhbar itu Dr Mahathir dilapor berkata: "Majlis Tertinggi menerima tarikh (pertemuan) yang dikemukakan oleh PAS pada 19 Februari,". Bagaimanapun Ahad lepas, Presiden PAS mengumumkan keputusan parti itu untuk menangguhkan pertemuan tersebut ekoran suasana yang tidak 'kondusif' berlaku. 

Dato' Fadzil turut meletak beberapa syarat untuk dipatuhi Umno, antaranya memulangkan semula royalti minyak kepada kerajaan Terengganu, mengembalikan permit penerbitan akhbar Harakah dua kali seminggu dan menggugurkan tuntutan untuk mengharamkan perkataan 'Islam' pada PAS. 

Sehubungan itu Ustaz Nasharudin menegaskan, tindakan Presiden Umno, mengumumkan tarikh pertemuan perpaduan pada 19 Februari lalu melanggar perjanjian jawatankuasa teknikal kedua-dua parti. "Parti masing-masing akan berbincang dan JK Teknikal PAS dan Umno akan berbincang semula dan membuat keputusan. Selepas itulah, baru apa-apa keputusan dibuat termasuk tarikh pertemuan," tambah beliau. Atas dasar itu katanya, PAS tidak bertanggungjawab sekiranya pertemuan tersebut tidak berlaku.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan