Selaras Pindaan Perlembagaan 

KELANTAN PERLU SEGERAKAN 

KOTA BHARU, 6 Feb (Hrkh) - Kerajaan Kelantan dicadang membuat penyelarasan apa-apa sahaja pindaan yang sudah dibuat di peringkat persekutuan bagi melancarkan lagi jentera pentadbiran kerajaan negeri. 

Penyelarasan tersebut difahamkan membabitkan dua perkara yang belum dipinda di peringkat Dewan Undangan  Negeri Kelantan (Dun) sehingga kini. Pindaan yang sudah dibuat sebelum ini, iaitu membabitkan pelantikan Speaker bukan dari kalangan Adun dan penambahan anggota Exco kepada 11 orang termasuk Menteri Besar. 

Bekas Penasihat Undang-Undang PAS Kelantan, Takiyuddin Hassan berkata, antara penyelarasan yang perlu dilakukan kerajaan Kelantan iaitu berkaitan Jadual 8, Perlembagaan Malaysia menyentuh mengenai perkenan agong dan raja bertindak di atas nasihat anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (kabinet). 

Katanya, perkara berkaitan jadual tersebut belum lagi dipinda di peringkat negeri untuk diselaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Jadual 8, Perlembagaan Malaysia antara lain menyebut, raja hendaklah memperkenankan rang undang-undang yang dilulus di peringkat parlimen dalam tempoh 30 hari, dan selepas tempoh tersebut, ia tetap menjadi undang-undang, biarpun tidak diperkenan. 

Bagaimanapun mengikut undang-undang Tubuh Negeri Kelantan, Artikel 39 (fasal 3) menjelaskan rang undang-undang hanya akan menjadi undang-undang selepas diperkenan oleh sultan. Manakala Jadual 8, Perlembagaan Malaysia yang dipinda pada 1983 menjelaskan 'Pada menjalankan fungsi di bawah Perlembagaan Negara atau mana-mana undang-undang atau Majlis Raja-raja maka dikehendaki bertindak mengikut atau atas nasihat, maka hendaklah menerima atau mengikut nasihat itu.' Artikel 15, Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan pula menjelaskan, dalam melaksanakan tugas sultan bertindak selaras dengan nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. 

Takiyuddin berkata, pindaan itu perlu dilakukan segera oleh kerajaan negeri untuk menyelaras dengan perlembagaan di peringkat Pusat. Bagaimanapun beliau menjelaskan, pindaan tersebut tidak termasuk imuniti raja-raja kerana perkara itu tidak terdapat pada perlembagaan negeri. 

Imuniti raja-raja Melayu sudah dipinda pada 1993 yang membabitkan pindaan antaranya Perkara 32 iaitu mengenai Kepala Utama Negara yang digelar Yang Dipertuan Agong bagi Persekutuan dan permaisurinya dan Perkara 181 (2) menyentuh soal pengecualian bagi kedaulatan raja-raja daripada dibawa ke mahkamah. 

Pada 1988, Kelantan juga pernah mengalami krisis perlembagaan di mana isu pertukaran pegawai tadbir menjadi krisis di antara Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) dan kerajaan negeri. 

Ketika itu, pertukaran 20 pegawai tadbir negeri di atas arahan kerajaan negeri dibatalkan oleh SPN. Ekoran kes tersebut, pegawai yang terbabit dalam pertukaran berkenaan menjadi delema kerana tidak mengetahui arahan mana yang perlu diikut. 

Menteri Besar, ketika itu, Tan Sri Mohamad Yaakub secara terbuka mengakui kerajaan negeri mungkin meminda perlembagaan negeri bagi menyelesaikan krisis tersebut. 

Sementara itu, Takiyuddin yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, menyokong kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar yang mendesak kerajaan negeri meminda segera perlembagaan negeri ini. 

Katanya, pindaan yang dimaksudkan Mahfuz bukan berkaitan imuniti raja-raja kerana ia tidak terdapat dalam undang-undang Tubuh Negeri Kelantan. "Pindaan tersebut adalah untuk menyelaras dengan perlembagaan Persekutuan yang dipinda pada 1983," katanya. 

Selasa lalu, akhbar melaporkan, Mahfuz dipetik sebagai berkata, kerajaan Kelantan didesak meminda segera perlembagaan melibatkan keistimewaan raja-raja Melayu, jika istana enggan menjelaskan sebab-sebab penarikan balik darjah kebesaran dua anggota Exco.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan