Bekas PTN Bidas Wan Mohamad Konok

KOTA BHARU, 6 Feb (Hrkh) - Bekas pegawai-pegawai tadbir negeri Kelantan (PTN) kesal dengan tindak tanduk Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Wan Mohamad Wan Konok yang cuba mempertikaikan keputusan kerajaan negeri melantik Adun sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).

Mereka berkata, sejarah PTN di negeri ini, tidak pernah berlaku seperti mana yang dilakukan pegawai terbabit. Bekas PTN, Tengku Azli Tengku Ahmad berkata, Wan Muhamad seharusnya mengingati sejarah yang dilakukan Umno sebelum 1990, di mana PTN menjadi kuda tungangan Umno. "Pada ketika itu jawatan YDP di semua majlis tempatan di negeri ini diterajui orang politik dan bukan seperti yang berlaku sekarang," katanya.

Menurutnya, sepatutnya PTN lebih berterima kasih kepada kerajaan PAS kerana memberi kebebasan kepada pegawai terbabit melaksanakan tugas mereka. Katanya, PTN sekarang sepatutnya lebih mengenang budi kepada mereka yang berjasa menaikkan imej PTN. Beliau juga berpendapat, kerajaan negeri tentunya mempunyai alasan sendiri tidak memberi jawatan YDP MPKB kepada PTN buat masa ini.

"Mungkin belum ada lagi orang yang layak untuk menyandang jawatan tersebut buat masa sekarang," katanya. Sehubungan itu, beliau menganggap pegawai terbabit dan tidak layak untuk memegang jawatannya sekarang kerana mencetuskan kontroversi yang dipertikaikan banyak pihak.

Seorang lagi bekas pegawai tadbir, Haji Daud Muhammad, 60 berkata, sebagai seorang pegawai kerajaan, Wan Muhammad tidak sepatutnya bertindak membantah apa yang diputuskan kerajaan negeri. "Sekiranya Umno masih menerajui negeri ini tentunya tindakan disiplin dikenakan," tambahnya. Bagaimanapun beliau bernasib baik kerana mempunyai ketua seorang ulamak yang lebih rasional dan berhati-hati dalam setiap tindakan.

Seorang lagi bekas pegawai tadbir yang namanya tidak didedahkan turut mempertikaikan pelantikan Wan Muhamad ke jawatannya sekarang. Katanya, pegawai yang tidak mampu melaksanakan tanggungjawab seperti diamanahkan rakyat, patut berundur lebih awal.

Baru-baru ini, ketika bercakap kepada pemberita, Wan Mohamad secara terang-terangan mempetikaikan keputusan kerajaan negeri tidak melantik PTN sebagai YDP di MPKB. Beliau dipetik sebagai berkata, kerajaan negeri tidak menunaikan janjinya untuk melantik PTN sebagai ketua pentadbir di MPKB

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan