Ada Pegawai Idamkan Jawatan SUK 

oleh Mazlan Jusoh

KOTA BHARU, 6 Feb (Hrkh) - Penyelia Parlimen Gua Musang, Haji Abdul Razak Abbas berkata, jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang bakal kosong tidak lama lagi menjadi idaman pegawai tertentu kerajaan negeri. 

Katanya, jawatan SUK akan kosong pada Jun nanti, dan sekarang sudah ada hero yang sedang melobi ke arah itu. "Sepatutnya pegawai terbabit ingat, jawatan tersebut ada jin Islam yang menjaganya," katanya pada ceramah di Bunut Payong, baru-baru ini. 

Dato' Wan Hashim Wan Daud yang menjadi SUK sekarang dijangka mengosongkan jawatan tersebut apabila bersara wajib pada Jun depan. Wan Hashim sehingga kini merupakan SUK terlama yang berkhidmat dengan kerajaan PAS. Ekoran kekosongan tersebut, terdapat desas desus menyebut ada pegawai kanan tertentu yang sedang melobi untuk membolehkannya dilantik sebagai ketua pentadbir di Kelantan. 

Pelantikan jawatan itu ada hubung kait dengan restu daripada istana terlebih dahulu. Isu yang berlaku di Kelantan sekarang dilihat banyak pihak, ada hubung kait dengan perkembangan yang berlaku di negeri ini, sekarang. Agenda utama yang dicetus iaitu dengan mempersalahkan kerajaan negeri yang tidak melantik pegawai tadbir negeri (PTN) sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB). 

Sehingga kini, hanya Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato' Wan Mohamad Wan Konok yang tampil mengkritik kerajaan negeri secara terbuka kerana tidak melantik PTN ke jawatan tersebut. Wan Mohamad juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan Pengarah Upen. 

Menurut sumber, pelantikan Adun Wakaf Bharu, Haji Ramli Abu Bakar ke jawatan tersebut dikatakan menjadi punca utama tidak puas hati pihak tertentu sehingga mencetuskan isu sekarang. Sumber lain pula memberitahu, tidak pernah berlaku dalam sejarah pentadbiran di negeri ini, seorang pegawai kanan mengetuai tiga agensi utama kerajaan negeri dalam masa yang sama. 

"Jawatan YDP Maik sudah menjadi senario sejak dahulu lagi disandang di kalangan bekas-bekas pegawai kanan kerajaan negeri yang berpencen. "Biarpun jawatan tersebut bukan eksekutif, namun penumpuan kepada tugas diperlukan. "Bagaimanapun apa yang berlaku sekarang cukup berbeza, di mana seorang pegawai kanan yang belum berpencen menjawat jawatan tersebut," katanya.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan