Mazlan Jusoh

Berpindah Takhta Dari Istana – Bekas Ketua Hakim Negara

“JIKA kehendak rakyat jelata itu dimakbulkan Allah, maka berpindahlah takhta dari istana ke muzium seni dan budaya. Pada awal abab ke sembilan belas, ada lebih daripada 900 buah takhta dalam dunia ini, tetapi bilangan itu telah turun satu demi satu – kepada 240 buah pada abab kedua puluhan, dan pada hari ini, pada dekad kelapan abab kedua puluh – hanya terdapat sebanyak 40 buah takhta sahaja,” petikan ucapan Tan Sri Raja Azlan Shah, bekas Hakim Besar Malaya, di majlis konvokesyen Universiti Sains Malaysia, 29 Jun 1980.

Dan takhta yang paling banyak terdapat di dunia iaitu di Malaysia, sembilan daripada 40 buah.Tulis Tan Sri Azlan lagi, ‘Takhta Merak Kayangan di Iran telah dialih dari istana ke muzium sejarah kerana rakyat Iran tidak lagi memberi kepercayaan dan taat setia Kepada takhta, kononnya takhta Pahlavi telah melebihi kuasa yang ada padanya.

‘Sejarah telah menunjukkan bahawa takhta telah dialih dari istana ke muzium sejarah adalah hasil daripada salah nasihat yang diberi oleh penasihat-penasihat istana yang tidak bertanggungjawab kepada rakyat. Sebenarnya penasihat istana ini, mereka yang mencari keuntungan jangka pendek bagi kepentingan diri mereka sendiri tanpa memikirkan kepentingan rakyat dan negara.

‘Apabila keadaan ini berlaku, maka lambat laun rakyat akan memberontak dan takhta akan tergugat. Walaupun seberapa banyak sekalipun askar, polis rahsia atau pengawal istana digaji untuk melindungi dan menjaga takhta, namun tidak satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata.

‘Walau seberapa banyak peluru bedil atau peluru meriam sekalipun digunakan, namun tidak satu pun dapat menyekat kemarahan aspirasi rakyat. Jika kehendak rakyat dimakbulkan Allah, maka berpindahkan takhta dari istana ke muzium seni dan budaya,’ tulis Tan Sri Azlan Shah lagi.

Menulis bekas Ketua Hakim Negara itu lagi, ‘Sejarah juga telah menunjukkan bahawa penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa telah dilakukan oleh penasihat-penasihat istana kononnya atas nama takhta. Mereka ini adalah terdiri daripada orang yang cuba mengambil kesempatan untuk berteduh di bawah payung kuning dan naungan takhta, kononnya kalau benarlah takhta itu kebal, maka mereka turut sama kebal. Malah bukan sahaja mereka menyalahgunakan kuasa, tetapi mereka sanggup melakukan jenayah kecil atau besar.

Rakyat negara ini sudah dimaksumkan dengan pepatah, raja sebagai payung kepada rakyat. Rakyat jelata sejak zaman Hang Tuah menyanjung tinggi raja-raja Melayu. Malah, orang Melayu pernah dilenakan dengan bahan sejarah lampau, kononnya raja berasal dari buluh bentung dan tidak berdarah merah. Pemisah institusi rakyat dan istana, bagaikan bumi dan langit yang cuba disumbat kepada minda rakyat. Maka sejak dahulu sehingga sekarang, rakyat menghormati institusi raja sebagai khalifah di muka bumi.

Bagaimanapun, sudah tercatat juga dalam sejarah, usaha-usaha untuk mengurangkan kuasa raja dalam pentadbiran telah lama bermula. Apabila institusi raja-raja Melayu tidak mampu berjalan di atas relnya, rakyat mulai sedar. Sejarah penghormatan secara luar kebiasaan sudah mulai luntur, apabila banyak catatan, terhadap insiden yang berlaku membabitkan institusi raja-raja.

Biarpun sistem raja berpelembagaan digunapakai di negara ini, namun masih ada kesamaran, bilamana ada pihak-pihak tertentu cuba mempengaruhi istana untuk pergi jauh ke dalam jentera pentadbiran kerajaan. Ada ketikanya, rakyat dikelirukan siapa yang berkuasa di antara Menteri Besar atau istana. Masih ada lagikan raja-raja Melayu yang turun ke bawah membahagikan geran-geran tanah dan potret kepada rakyat jelata.

Biarpun ada pendapat mengatakan, kerja kerajaan meluluskan tanah, dan pihak lebih atas pula yang mengagihkan geran-geran tanah yang diluluskan kepada rakyat. Namun dipersoalkan, apakah ada pihak yang bersaing untuk mempamerkan populariti seperti orang politik pula. Mengikut buku pentadbiran awam, raja boleh menggunakan budibicara baginda sendiri berkaitan, melantik menteri besar, tidak mempersetujui permintaan membubarkan Dewan Undangan Negeri, meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja tentang keistimewaan dan kebesaran raja atau hal ehwal agama Islam. Melaksanakan tugas sebagai ketua agama Islam atau yang berkaitan adat istiadat orang Melayu, melantik waris permaisuri, pemangku raja, atau jemaah pemangku raja, melantik penerima pingat, gelaran, kemuliaan dan kebesaran di sisi adat Melayu serta menetapkan tugas-tugas berkaitan dan membuat peraturan mengenai balai-balai diraja dan istana.

Tidak dinyatakan pula raja turun ke bawah membahagikan geran kepada rakyat jelata. Kuasa seperti itu sudah diwakilkan kepada eksekutif yang mendapat mandat dari rakyat. Pemisah mengenai tugas dan tanggungjawab itu sudah jelas dalam perlembagaan negara.

Kerumitan seperti dalam situasi itu, kemungkinan masih berlengkar dalam jentera pentadbiran kerajaan di Kelantan. Kuasa eksekutif yang diberi rakyat dengan mandat besar, seolah-olah terhalang dengan wujudnya pemisah kuasa. Ada pihak lain pula menguasai jentera pentadbiran kerajaan. Lojikkah apabila kuasa eksekutif yang dimiliki kerajaan negeri dipisahkan dengan jentera pentadbiran yang mengawal pegawai-pegawai tadbir.

Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) kalau di peringkat pusat serupa dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Siapa yang berkuasa melantik Ketua Pengarah SPA, perdana menteri atau Agong.

Perdana menteri melalui kuasa yang diwakilkan, mencadangkan nama Ketua Pengarah JPA. Namun di Kelantan, siapa yang boleh bertanggungjawab melantik Pengerusi SPN. Mungkinkah wujud sebelum ini, pertukaran pegawai di Kelantan dimaklumkan terlebih dahulu kepada Menteri Besar atau Exco berkaitan. Malah, ada pendapat mengatakan ketua SPN, berkuasa seperti menteri besar.

Menteri Besar dan anggota-anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dilihat terpinggir dari bidang kuasa terhadap pegawai tadbir negeri (PTN). Rakyat difahamkan negeri ini sebahagian tubuh badan Malaysia, yang mengamalkan demokrasi berparlimen. Namun, mengapa kerajaan yang dipilih majorti rakyat seolah-olah diipecahkan kuasanya. MMK seperti sekadar merangka dasar, dan pelaksana dasar tersebut pula ialah pihak lain yang seolah-olah tidak ada kait mengait dengan kerajaan pilihan rakyat.

Biarpun apa yang berlaku di sebalik tirai SPN, banyak rakyat yang tahu. Dulu, kini dan bila-bila pun ada suara-suara berani yang memberitahu pegawai yang rapat dengan Exco mudah terdedahkan dengan pertukaran. Pelik dan ajaib, apabila pegawai yang rapat dengan MMK dipilih rakyat ditukar, seperti yang menjadi amalan kepada Jabatan Pendidikan, menukar guru-guru yang tidak sebulu (sokong bukan BN). Sekarang apa yang ada pada kerajaan pilihan rakyat. Kisah seperti ini begitu canggung dan kekok hendak diceritakan kepada rakyat. 

Rakyat sudah lama naik angin, kerajaan dipilih mereka, tidak berkuasa untuk melaksanakan dasar sebagaimana dihasratkan. Birokrasi wujud melentang di tengah jalan. Rakyat sekarang sudah pandai menyamakan kerajaan Terengganu yang setahun jangung, tetapi mampu mengembelingkan tenaga pentadbir dengan sebaik mungkin. Rakyat lama menunggu hasrat kerajaan membetulkan semula kepincangan yang berlaku. 

Bila dibelik kepada isu yang cuba digelegak di Kelantan sekarang, ada pula pegawai kanan cuba bermain sandiwara dengan kerajaan negeri. Mengeluarkan kenyataan tanpa berlapik, mempertikaikan keputusan kerajaan negeri. Pernahkah berlaku kes seumpama itu di negeri-negeri lain.

Adun Guchil,  Ustaz Zulkefli Yaakub berkata, kalau pegawai terbabit tidak boleh lagi berkhidmat dengan kerajaan yang dipilih rakyat, dia perlu membuat pilihan lain, berhenti dan berkhidmat dengan kerajaan yang sebulu dengannya.

Mengikut sumber, Dato’ Wan Mohamad Wan Konok selaku Presiden Persatuan Pegawai Tadbir Negeri (PPTN) kononnya, pernah mendapat persetujuan Menteri Besar untuk melantik Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dari kalangan PTN. Dakwaannya, rombongan PPTN pernah menemui Menteri Besar membawa usul lisan tersebut. Sebagai ketua kerajaan yang berhemah tinggi adalah amat wajar Menteri Besar bersetuju pada dasarnya terhadap hasrat lisan pegawai terbabit. Selepas itu, dibawa cerita, kononnya Menteri Besar berbohong pula.

Biarpun, sudah ada persetujuan untuk melantik pegawai sepenuh masa di MPKB, namun tidak semestinya hasrat PTN dipenuhi segera. Pihak berkuasa tempatan adalah kerajaan ketiga dalam jentera perkhidmatan dan ketuanya, ialah MMK. Kerajaan negeri boleh menangguh pelantikan pegawai sepenuh masa, dan bukan bermakna usaha ke arah itu tidak dibuat. Persetujuan Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan pada 25 April 1998 sudah berada dalam pengetahuan kerajaan negeri.

Pelantikan pegawai sepenuh masa itu sudah dibangkitkan kerajaan negeri dua tahun lalu. Ia bukan isu baru. Bagaimana pula hasrat PTN itu, boleh diterima MPKB, sedangkan mereka mempunyai banyak pengalaman tentang karenah PTN yang di bawah telunjuk SPN, dan bukan berkiblat kepada kerajaan negeri.

Ahli-ahli Majlis MPKB, Zainal Rashid Mohd Zain, Shaari Mat Yaman dan Aidy Hassan secara terbuka sudah menolak awal-awal lagi kehadiran PTN di MPKB. Hampir 100 peratus warga MPKB tidak bersetuju kehadiran PTN di MPKB. Bagaimanakah hasrat PTN hendak memperkukuhkan taring di majlis tempatan tersebut, sedangkan empunya diri tidak berminat. Pegawai-pegawai kanan MPKB sudah lama mengintai ruang untuk membolehkan di kalangan mereka menduduki sendiri jawatan-jawatan penting iaitu Setiausaha dan Timbalan Yang Dipertua. Mereka sudah lama bersabar menunggu impian tersebut.

Bila diselak lagi tabir, karenah PTN dengan kerajaan negeri, adakah relevan jawatan ketua pentadbir di MPKB mahu diserahkan kepada pihak terbabit. Ada yang berpendapat sekiranya pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri dilakukan dengan memberi jaminan kuasa SPN dikiblatkan kepada MMK, baru ruang untuk PTN bertapak di MPKB boleh bersinar.

Sejarah lampau pernah mencatatkan, pertukaran 20 pegawai oleh Tan Sri Mohamad Yaakub pada tahun 1988 kemudian dibatal oleh SPN. Pertukaran pegawai-pegawai terbabit dibuat MMK pada 11 Disember 1988. Bagaimanapun SPN yang sejak dari dahulu yang mempunyai kiblat lain, membatalkan arahan pertukaran tersebut. Ekoran itu, berlaku krisis perlembagaan dan  Tan Sri Mohamad terpaksa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan perkembangan tersebut. Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri ketika itu, Dato’ Halim Mohamad menjelaskan, kerajaan negeri mempunyai kuasa berbuat demikian.

Menurut Dato’ Halim, kerajaan mempunyai kuasa menukar seseorang pegawai awam di mana dan pada bila-bila masa sahaja dan kuasa menukar seseorang pegawai awam itu adalah di bawah peruntukan Perintah-Perintah Am Bab (A) Perintah 16 yang berbunyi. ‘Seseorang pegawai boleh diarah berkhidmat di mana-mana sahaja oleh kerajaan melainkan ada syarat-syarat khas yang menetapkan sebaliknya,” kata Dato’ Halim.  

Krisis itu berakhir dengan tumbangnya, kerajaan BN pada Oktober 1990. Mengikut pengamat politik, sebab utama krisis tersebut berada di sebelah SPN, bilamana rakyat sudah tawar hati dengan Umno. Umno ketika itu sudah berpecah kepada Semangat 46 dan Umno Baru. Pengaruh Tengku Razaleigh Hamzah tidak dinafikan turut menjadi aset penting ke arah tumbangnya, kerajaan Tan Sri Mohamad Yaakub.

Tan Sri Mohamad yang dikatakan berpihak kepada team Dr Mahathir, ketika berlaku pertandingan jawatan Presiden Umno pada 1987, turut menyumbangkan ke arah runtuhnya kerajaan BN. Ketika itu, hubungan Menteri Besar dan istana sudah renggang. Dan tidak hairanlah pertukaran PTN yang dibuat MMK tidak dipatuhi oleh SPN.

Rakyat yang diangan-angankan oleh Ku Li, kononnya akan menjadi Perdana Menteri pada 1987, turut marah kepada Tan Sri Mohamad yang berpihak kepada team Dr Mahathir. Malah PAS ketika itu, sebagai pembangkang di DUN mempunyai 10 anggota, yang diketuai Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, PAS turut mengambil kesempatan perbalahan terbuka di antara Umno dan istana untuk mengajak rakyat menumbangkan BN. Walhasilnya pada Oktober 1990, BN diberi hadiah 39 – 0.

Mungkinkah suasana seperti itu, berulang kembali sekarang. Banyak pendapat mengatakan tidak. Buktinya, rakyat sudah faham suasana politik dan gangguan dalam jentera pentadbiran kerajaan. Bukti terbaru apabila puluhan ribu rakyat Kelantan hadir pada solat Hajat dan Munajat Rakyat Kelantan pada jam 5 pagi di Padang Perdana, Jumaat lalu.

Rakyat kecil, besar, tua muda, lelaki dan perempuan dari seluruh pelusuk tanah bumi Kelantan hadir. Rakyat bukan Islam juga kelihatan sama. Rakyat sanggup tinggalkan selimut tebal dan keseronokan dibual mimpi kerana satu nawaitu. Mereka cukup berpantang terhadap pihak yang cuba mengusik kerajaan pimpinan ulamak.

Pada sebelah malam, sebelum program berlangsung, hujan rahmat sudah membasahi padang. Ribuan pemuda yang kental memperjuangkan Islam sanggup berdinginkan embun ke tengah padang untuk bermunajat kepada Allah, yang mempunyai segala kekuasaan. Rakyat sujud di bumi yang bersaksi bulan penuh purnama. Angin dingin di awal pagi bertiup sopan di tengah lautan manusia yang bermunajat kepada Allah.

Rakyat bersatu hati menolak sesiapa yang mahu menggugatkan kerajaan di bawah kepemimpinan ulamak. Suara-suara doa hamba teraniaya dan sedang dipermainkan pihak tertentu,  dipanjatkan terus ke langit mustawa, memohon pengadilan dari Allah empunya segala kerajaan yang kekal.

Situasi yang berlaku itu,  cukup berlainan dengan apa yang pernah dialami Tan Sri Mohamad ketika berkrisis dengan istana. Apa yang berlaku hari ini, secara total kelihatan rakyat berada di belakang kerajaan. Kali ini, SPN dan mana-mana pegawai kanan yang cuba bermain silap mata terpaksa merangka kondisi baru. Instrumen yang sedia ada, mungkin tidak terdaya untuk mempertahankan rempuhan rakyat. Sekiranya terminologi yang sesuai tidak diwujudkan, operator yang berada di belakang jentera terbabit, tidak perlu menyesal panjang.

Sepatutnya kita mengurut dada, mencermin diri di kanvas politik rakyat, dengan mengambil kira pandangan bekas Ketua Hakim Negara, ‘Kalaulah takhta dapat memainkan peranan mengikut lunas-lunas perlembagaan tanpa dipengaruhi anasir-anasir luar perlembagaan, maka selama itulah takhta akan terus kekal bukan sahaja di istana, tetapi juga dalam hati dan sanubari setiap rakyat jelata.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan