Mazlan Jusoh

Pindaan Perlembagaan Selesai Kemelut Di Kelantan 

'ENGKAU Ya Allah memberi kerajaan kepada sesiapa yang engkau kehendaki, dan Engkau mencabut kerajaan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah yang memuliakan sesiapa dikehendaki, Engkau menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkau jua segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau di atas segala sesuatu Maha Berkuasa,'  - maksud  ayat 26 Surah Al Imran. 

Falsafah ayat di atas menjadi azimat yang mematangkan rakyat Kelantan menghadapi apa jua ujian di kampus 'Universiti Politik Terbuka'. Halangan mendaki kanvas politik berorientasikan agama sudah berdekad-dekad ditempuhi rakyat jelata. Acuan ilmu agama dari Tok Kenali, Tok Selehor dan tok-tok guru dulu, kini, selama-lamanya mampu bertahan di jiwa mereka. Kini bila diajukan kepada mereka, di antara Tok Guru dan pihak lain, mudah rakyat jelata membuat pilihan. Sesiapa yang mampu melorongi sinar ke alam baqa lebih diminati. Rakyat Kelantan kini bukan lagi selama-lamanya mahu didodoikan dengan metos  'raja berdarah putih'. Kini ketika berdepan buat sekian kalinya dengan kemelut yang entah bila berkesudahan, rakyat Kelantan sudah mempunyai nawaitu yang jelas. Zaman melarang pakai baju kuning yang berkeris tersusuk di depan, sudah lama berlalu. Kini zaman IT dan bukannya Sang Sapurba yang berasal dari muntah lembu. Krisis di antara kerajaan pilihan rakyat dan istana warisan turun temurun kembali bergema. Kini episodnya disambung semula, biarpun sudah dilakonkan sejak memanda bukan ulamak mentadbir Kelantan. 

Pada 1988, krisis perlembagaan yang begitu hebat berlaku di antara kerajaan negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) yang berkiblat kepada istana. Ketika itu, Tan Sri Mohamad Yaakub sebagai Menteri Besar dengan persetujuan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada tanggal 11 Disember 1988 membuat pertukaran membabitkan 20 pegawai tadbir negeri (PTN). Kemudian arahan pertukaran itu dibatalkan SPN. Kerajaan negeri ketika itu berpandukan, Perintah-perintah Am Bab (A) Perintah 16 yang menjelaskan, "Seseorang pegawai boleh diarahkan berkhidmat di mana-mana sahaja oleh kerajaan, melainkan ada syarat-syarat khas yang menetapkan sebaliknya." Klimaks kepada krisis tersebut menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Oktober 1990 di tangan kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan). Sebanyak 39 kerusi yang ditandingi BN tidak satu pun tinggal, semua dirampas PAS dan rakan karibnya, Semangat 46. 

Pemerhati politik bependapat, Angkatan ketika itu mendapat restu dari istana bagi menumbangkan kerajaan BN. Dendam politik ketika itu bermula, apabila Tan Sri Mohamad Yaakub berani membuat perhitungan sendiri dengan memilih team Dr Mahathir, ketika berada di 'stage' perlawanan satu lawan satu dengan Ku Li. Majoriti tipis dengan 43 undi membuatkan Ku Li gagal mengapai impiannya untuk menjadi Perdana Menteri. Keberanian Mohamad berpihak kepada Dr Mahathir mengundang krisis dalam pentadbirannya di Kelantan. Istana mengawal SPN dan PTN, ada hubung kaitnya dengan Ku Li. Pengaruh Ku Li di istana begitu hebat. Anak saudaranya bertakhta di puncak mahligai. 

Kini suasana yang hampir sama menghantui kerajaan di bawah kepemimpinan ulamak. Penyakit yang serupa berulang tayang kembali. Cuma pelakonnya sedikit berbeza, namun dalang hampir sama.  Episodnya bermula dengan penarikan balik darjah kebesaran yang dikurniakan kepada dua anggota Exco kanan, iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah, Ustaz Mohamed Daud dan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Wilayah, Takiyuddin Hassan. Penarikan balik darjah kebesaran itu, dibuat melalui sepucuk yang ditandatangani Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Serpuddin Mohamad bertarikh 9 Januari 2001. Selepas menerima surat yang tidak dinyatakan sebabnya itu, Takiyuddin memulangkan darjah kebesaran, Ahli Setia Kelantan (ASK) dan Ustaz Mohamad, Setia Mahkota Kelantan (SMK), sejurus selepas itu.  

Bermula dari tanggal, 24 Januari 2001, bermula episod-episod hangat dalam media. Istana, PTN, Dewan Pemuda Pas, Umno dan kerajaan negeri seperti berlumba memanggil sidang akhbar. Media meraih keuntungan dengan merancakkan lagi episod bersebut. Tajuk-tajuk  sensasi di papar sedemikian rupa hampir berminggu minggu. Isu perpaduan Melayu di antara Umno dan PAS yang dicanangkan Umno, hampir tenggelam dibuatnya.  Isi kandung laporan media, yang dipetik dari sumber mendedahkan punca bantahan awal dua anggota Exco terbabit, berhubung Sultanate Land. Isu tersebut dikatakan menjadi kunci pencetus suasana. Khabarnya puluhan ribu ekar tanah dibawa melalui pegawai kanan diangkat kepada Menteri Besar. Permohonan berbentuk memorandum yang entah dari mana itu, diterima kerajaan negeri pada dasarnya, untuk diperbincangkan. 

Ekoran itu, sebuah jawatankuasa khas dipengerusikan Timbalan Menteri Besar, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman ditubuh. Memorandum itu, khabarnya dibawa menjelang pilihan raya umum ke-10 lalu, tahun lepas. Maka mesyuarat jawatankuasa berkenaan diadakan pada tanggal 7 Januari 2001. Lima anggota Exco dan dua pegawai kanan hadir. Mesyuarat tersebut tidak berkesudahan kerana khabarnya ada sedikit perbezaan pendapat. Isu sultanate land timbul, kerana kerajaan negeri pada akhir 1960-an, mengambil tanah kepunyaan raja dan kaum kerabatnya, di kawasan Balai Besar di pusat bandar Kota Bharu. Tanah terbabit dibangunkan dengan pembinaan pasar oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan. Tanah yang diambil alih itu sekitar 10 ekar. 

Namun, pada masa itu, Menteri Besar Dato' Ishak Lotfi  dikatakan sudah menggantikan pengambilan tanah tersebut dengan kawasan yang lebih luas di Kubang Kerian dan membina istana baru yang khabarnya menelan kos lebih RM15 juta. Selain itu, pampasan sebanyak RM2 juta juga dilangsaikan. Ramai veteran PAS bertegas isu Sultanate Land sudah lama selesai dan tidak perlu dibangkitkan lagi. Malah ada perkhabaran, selain tanah di kawasan Balai Besar, berbangkit pula persoalan istana lama milik raja di Nilam Puri.  Isu ini juga dikatakan cuba ditengahkan. Namun ada pendapat mengatakan ia tidak berbangkit lagi kerana istana lama tersebut sebenarnya diwakaf oleh pemiliknya sebelum ini. 

Persoalan sekitar isu tersebut rupanya tiada penghujung. Dan dua hari selepas itu, dua Exco yang berada di dalam mesyuarat membincangkan memorandum dibawa pegawai kanan,  ditarik darjah kebesarannya. Mengikut laporan akhbar, penarikan itu berpunca dari isu pandangan dua anggota terbabit berhubung isu Sultanate land. 

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Zulkefli Yaakub meluahkan rasa hairan apabila pihak istana melalui Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Mohamad Wan Konok menafikan isu penarikan balik darjah kebesaran berpunca dari isu permohonan tanah dari istana. Pada sidang akhbarnya di Balai Besar beliau (wan Mohamad) memberitahu sultan tidak pernah meminta walaupun seinci tanah dari kerajaan negeri sejak menduduki takhta di atas nama tubuh badan baginda. 

Ustaz Zulkefli, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar dan Penyelia Parlimen Gua Musang, Haji Abdul Razak Abbas melahirkan rasa amat hairan, kerana pihak istana enggan menjelaskan punca darjah kebesaran tersebut ditarik balik. Alasan kuasa mutlak yang meniti di bibir Wan Mohamad Wan Konok, seperti pihak dihasratkan pihak istana, diharap mereka boleh mematikan isu tersebut. 

"Tak kan hendak tanya pun tidak boleh," kata Ustaz Zulkefli. Malah, kata Mahfuz, kalau raja bagi pingat dan tarik balik, orang akan kata, raja buruk siku. Abe Jak pula ketika berceramah di Bunut Payong berpesan kepada angin malam, sampaikan perkhabaran kepada pihak di sana, apakah punca darjah kebesaran dua sahabat patik ditarik balik. 

Kemelut yang tidak berpenghujung tersebut semakin hangat apabila ada pegawai kanan berani melanggarkan Peraturan 17, Perintah-perintah am perkhidmatan dengan membuat sidang akhbar bagi pihak istana. Mereka menyatakan berulang kali, sultan tidak pernah memohon tanah biarpun seinci. 

Wan Mohamad dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian, Dato' Mohd Yusof Noh bermatian-matian mempertahankan istana, biarpun pada masa yang sama didapati melanggar Peraturan 17, sebagaimana disebut Takiyuddin. 

Memandangkan isu tersebut berlarutan, Dewan Ulamak dan Dewan Pemuda PAS menganjurkan Munajat Rakyat Kelantan yang diadakan di Padang Perdana, Kota Bharu, 9 Febuari lalu, pada jam 5 pagi. Puluhan ribu rakyat Kelantan dari kecil, besar, tua dan muda hadir beramai-ramai. Majlis tersebut bemula dengan qiamullail oleh Pemuda, kemudian solat hajat dan solat witir. Majlis itu berakhir dengan solat Subuh dan tazkirah oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.  Biarpun diselimuti awan dingin di pagi hari, rakyat Kelantan yang dahaga kepimpinan ulamak tetap berembun di bawah langit terbuka. 

Menteri Besar berkata, rakyat Kelantan rela berdinginkan embun pagi semata-mata ingin kepada sebuah kerajaan yang baik. "Rakyat menjadi baik apabila kerajaan, Menteri Besar, Exco, istana dan pegawai adalah mereka baik belaka. Semua pemimpin perlu mempamerkan contoh teladan yang baik. Oleh itu, saya mahu rakyat Kelantan dibiasakan dengan ibadat sebelum Subuh dan menadah tangan kepada Allah di dinihari. 

"Ketika kita bermunajat kepada Allah ini, kalau di Kuala Lumpur pada hari minggu, anak-anak muda baru pulang dari tempat-tempat maksiat. Ini suatu perbezaan yang jelas dan wajar sekali Kelantan digelar sebagai Serambi Mekah," katanya. 

Menurutnya, kita anjurkan program ini di atas padang sebagai mengingatkan kembali suasana seperti di Mekah. Tengok kiri, kanan semuanya langit. Dewan Ulamak juga mahu program seumpama itu diadakan di setiap kawasan parlimen di negeri itu untuk mendekatkan rakyat dengan empunya segala kekuasaan yang tidak hari akhirnya.     

Justeru itu, ramai melihat penghujung kepada dilema yang tiada noktah ini hanya dapat diselesaikan dengan pindaan perlembagaan. Zaman raja memungut cukai di tepi-tepi sungai sudah lama berlalu. Campurtangan berterusan pihak tertentu dalam pentadbiran perlu dihadkan. Kuasa yang diwakilkan kepada eksekutif diketuai menteri besar perlu diperjelaskan. Jangan sampai  rakyat sudah mulai hilang rasa hormat kepada institusi warisan pusaka peninggalan zaman.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan