Perpaduan Melayu: Pemikiran sempit - MB 

TANAH MERAH, 11 Mac (Hrkh) - Pemimpin politik yang sibuk bercakap mengenai perpaduan Melayu dianggap sebagai berfikiran sempit dan pendek. Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pandangan seperti itu tidak sampai ke mana-mana, kerana ia berada di ruang lingkup yang sempit. 

"Usaha mencanangkan perpaduan Melayu tidak sampai ke Padang Mahsyar di akhirat kelak. "Ketika berada di Padang Mahsyar kelak, manusia tidak lagi diambil kira berdasarkan bangsa Melayu atau bangsa apa sekalipun," katanya pada sambutan Hari Raya Korban di Pasti Al Falah di sini, Khamis lepas. Hadir sama di majlis itu, Senator Siti Zailah Yusof dan Penolong Setiausaha PAS Tanah Merah, Mohd Shukri Yamin. 

Sebelum ini, Umno cuba mencanangkan soal perpaduan Melayu sehingga mahu menganjurkan perjumpaan dengan PAS bagi membincangkan isu tersebut. Ramai pemerhati politik berpendapat, isu tersebut bermula selepas Barisan Nasional tewas pada pilihan raya kecil di Lunas pada akhir tahun lalu. Kekalahan itu memberi pukulan yang hebat selepas Umno kehilangan sokongan majoriti orang Melayu pada pilhan raya uumum ke-10, pada November 1999. 

Isu perpaduan Melayu turut dicetus oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, sebagai alat kepada Umno untuk berdepan dengan tuntutan Suqiu. Kemuncak kepada isu perpaduan Melayu berlangsung apabila Barisan Bertindak Melayu yang diketuai Dato' Paduka Ibrahim Ali menganjurkan perhimpunan 'Tidak Melayu Hilang di Dunia' yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra. 

Menteri Besar juga berkata, sifir utama perjuangan Umno begitu berbeza dengan PAS, di mana parti itu lebih mementingkan keuntungan peribadi berbanding faedah orang ramai. "Sebab itu perjuangan parti itu tidak mampu bertahan lama, berlainan dengan PAS yang tidak meletakkan kepentingan kebendaan sebagai asas perjuangan," katanya. 

Semalam, Presiden Umno, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, pertemuan di antara Umno dan PAS adalah untuk membincangkan perkara membabitkan kepentingan orang Melayu seperti hak dan keistimewaan orang Melayu. Menurutnya, pertemuan itu perlu memandangkan ada usaha kumpulan tertentu mencabar dan mempersoalkan hak-hak berkenaan. 

Sementara itu, Siti Zailah berkata, tidak ada sejarah dalam perjuangan tanpa adanya pengorbanan. Menurutnya, perjuangan Islam adalah kerja secara berjemaah dan bukan gerak kerja yang dilakukan bersendirian. "Ini kerana kerja perjuangan tidak pernah selesai sampai bila-bila," tambahnya.

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan