Tiada Rekod Rang Undang-Undang Ditolak 

KOTA BHARU, 14 (Hrkh) - Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan memberitahu tidak pernah berlaku Sultan Kelantan tidak memperkenankan apa-apa rang undang-undang yang diluluskan Dewan Undangan Negeri. 

Haji Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, belum terdapat dalam sejarah persidangan Dewan Kelantan, sama ada ketika kerajaan Barisan Nasional atau PAS, Sultan tidak memperkenankan rang-rang undang-undang yang diluluskan. "Belum terdapat dalam sejarah pindaan perlembagaan yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Kelantan, tidak diperkenankan sultan. "Oleh itu, setakat ini tidak timbul soal tersebut kerana apa yang dihasratkan kerajaan negeri cuma mahu menyelaras undang-undang di peringkat negeri dengan Pusat," katanya di sini. 

Menurutnya, penyelarasan itu sepatutnya sudah lama digunapakai, kerana ia sudah lama dilaksanakan di negeri-negeri lain. Katanya, dalam sistem negara persekutuan, apa yang dilakukan di peringkat Pusat perlu diterima pakai di peringkat negeri. "Amalan ini sudah menjadi budaya yang digunapakai setiap negeri. "Sehubungan itu, apa yang mahu dilakukan kerajaan negeri ialah menyelaraskan undang-undang dengan membawa kepada persidangan Dewan untuk mendapatkan kuasa secara sah," katanya. Menurutnya, tiada sebab untuk kita bersikap prejudis terhadap isu tersebut. 

Sebelum ini, bekas Penasihat Undang-Undang PAS Kelantan, Takiyuddin Hassan berkata, sehingga kini kerajaan Kelantan belum melakukan dua pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri bagi menyelaras dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan. Undang-Undang tersebut iaitu Perkara 15 dan Perkara 39 (fasa 3) untuk diselaraskan dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Pusat. Artikel tersebut antara lain menyatakan sesuatu rang undang-undang tetap akan menjadi undang-undang sekiranya tidak diperkenankan dalam tempoh 30 hari dan istilah 'atas nasihat' Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terhadap sultan. 

Haji Wan Abdul Rahim berkata, beliau menyokong pandangan Menteri Besar, di mana pindaan belum dilakukan di Kelantan seperti dibuat di peringkat Pusat, memandangkan ketika itu buahnya masih putik. "Sekarang ramai berpendapat buah berkenaan sudah ranum dan sesuai dipetik," katanya. 

Menurutnya, sejak tahun lepas pelbagai pihak sudah memberi pandangan kepada kerajaan Kelantan, supaya pindaan tersebut dilakukan termasuk dalam Muktamar PAS di Kuala Terengganu. Beliau juga berkata, pada prinsipnya kerajaan Kelantan perlu menerima pakai setiap pindaan yang dibuat di peringkat Persekutuan. 

Baru-baru ini, pakar undang-undang perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Aziz Bari dilaporkan berkata, Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di negara ini terpakai jika perlembagaan negeri tiada peruntukan mengenainya. 

Wan Abdul Rahim berkata, sekiranya terdapat percanggahan di antara undang-undang di peringkat negeri dan Pusat, maka undang-undang peringkat negeri terbatal. Menurutnya juga, kira-kira 10 tahun lalu, Dewan Undangan Negeri Kelantan pernah meminda Rang Undang-Undang Anti Lompat, namun ia tidak dapat dikuatkuasakan kerana bercanggah dengan perlembagaan Persekutuan. 

Beliau yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan berpendapat tidak timbul sebarang krisis perlembagaan sekiranya pindaan yang dihasrat sekarang dilakukan. "Pindaan yang dimaksudkan hanya untuk menerima pakai apa yang sudah dibuat di peringkat Pusat," katanya. 

Mengenai usul pindaan tersebut pada persidangan Dun yang dijadualkan 26 Febuari ini, beliau berkata, setakat ini pihak Dewan belum menerimanya daripada kerajaan negeri. "Sepatutnya ada notis terlebih daripada pihak kerajaan sebelum usul tersebut boleh dibawa ke peringkat Dewan. 

"Ruang masa yang ada sekarang masih memberi kesempatan sekiranya usul tersebut mahu dibentang pada persidangan kali ini, cuma ia bergantung kepada pihak kerajaan," tambahnya. Bagaimanapun sekiranya kesuntukan masa kaedah 'certificate of emgergency' boleh digunakan dengan kelulusan Speaker. "Namun ia terhad kepada tempoh tertentu yang perlu dipatuhi," tambahnya.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan