MB Tidak Puas Hati Laporan Media Elektronik
 
KOTA BHARU, 1 Mac - Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa tidak puas hati terhadap cara laporan media elektronik mengenai kenyataannya berhubung ucapan wakil rakyat pada persidangan Dewan Undangan Negeri, 26 Febuari lalu.

Setiausaha Akhbarnya, Haji Muhammad Fauzi Zakaria berkata, cara laporan media itu seolah menggambarkan Menteri Besar kecewa terhadap Adun tertentu kerana menegur cara perbelanjaan pejabat sultan.

Katanya, sedangkan media elektronik tersebut tidak menemui Menteri Besar selepas mesyuarat Exco, semalam.

"Laporan yang dibuat seolah-olah Menteri Besar kecewa terhadap Adun Kelaboran, Haji Nordin Yaakob kerana membangkit peruntukan tambahan begitu banyak oleh pejabat sultan.
"Sedangkan perkara yang dimaksudkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak sedemikian," tambahnya.

Baru-baru ini, ketika persidangan Dun, Haji Nordin Yaakub melahirkan rasa tidak puas hati terhadap permohonan tambahan tersebut yang begitu banyak berbanding jabatan-jabatan lain.
Peruntukan tambahan tersebut termasuk untuk menjelaskan bil air dan elektrik sebanyak RM113,000, perbelanjaan minyak kenderaan (RM248,000), imbuhan dan gaji (RM78,000) dan pembelian alat tulis (RM251,000).

Adun berkenaan mengambil kesempatan untuk berucap semasa pembentangan rang undang-undang perbekalan tambahan tahun 2000.

Ustaz Fauzi berkata, masalah prosedur tidak timbul, ini kerana segala tuntutan yang dikemuka pihak berkenaan diserta bil yang sah.

"Baki lagi, sejauh mana segala tuntutan yang dibuat terserahlah kepada kejujuran pihak berkenaan," katanya lagi.



Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan