Umno Bimbang Kebangkitan Pelajar 

KOTA BHARU, 19 Feb - Umno dan Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang tipis untuk mempertahankan kerajaan sekarang pada pilihan raya umum akan datang, memandangkan kesedaran politik rakyat semakin meningkat. 

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh berkata, kesedaran politik sudah meluas kepada seluruh negara termasuk di kampus-kampus universiti, di mana pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar yang diadakan tahun ini berpihak kepada calon-calon mewakili perjuangan Islam. 

Katanya, hampir kesemua institusi pengajian tinggi tempatan menyaksikan calon-calon dari perjuangan Islam menyapu bersih kerusi yang dipertandingkan. "Golongan pelajar ini sekarang berumur antara 19 dan 20 tahun, dan apabila keluar universiti, sudah tentu mereka layak untuk mengundi dan menjadi pemimpin. 

"Kehadiran golongan tersebut begitu ditakuti Umno sekarang terutamanya menjelang pilihan raya umum ke-11 nanti, golongan tersebut akan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih," katanya pada ceramah di Kampung Kor, Kadok, malam tadi. 

Menurutnya, setiap tahun terdapat tidak kurang 400,000 pemilih baru yang mendaftar. Beliau berkata, golongan pelajar berkenaan apabila pulang ke kampung akan mempengaruhi ibu bapa mereka yang masih bersama dengan Umno. Katanya, keadaan yang berlaku sekarang cukup melemaskan Umno dan salah satu cara untuk parti itu keluar dari kemelut itu, iaitu mengajak PAS untuk berunding. 

"Harapan Umno supaya PAS bersetuju bergabung dengan mereka untuk mempertautkan kembali orang Melayu yang sudah meninggalkan perjuangan parti itu. "Inilah menyebabkan pemimpin Umno begitu cemas, apabila pertemuan di antara presiden PAS dan Umno yang sepatutnya berlangsung 19 Febuari 2001 ditunda," katanya. 

Menurutnya, beliau melihat pertemuan tersebut kemungkinan akan ditangguh sehingga selepas pilihan raya umum ke-11, setelah Umno sudah menjadi parti yang kecil. Ustaz Nasaruddin berkata, mana-mana pihak yang berhasrat melawan perjuangan Islam tidak ada hujah untuk mereka berbuat demikian.

 

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan