Kementerian Baru Dijangka Bermasalah 

KOTA BHARU, 7 Feb (Hrkh) - Kementerian Hal Ehwal Wanita yang dibentuk khas untuk menjaga golongan hawa mungkin dijangka menghadapi masalah, memandangkan program yang direncanakan mengikut acuan Barat. 

Anggota Dewan Negara, Senator Zailah Mohd Yusof, berkata idea dari Barat yang menjadi model kepada Dato' Shahrizat Abdul Jalil tidak sesuai dengan fikrah wanita di negara ini. "Sekalipun kementerian khas dibentuk untuk golongan wanita di negara ini, namun ia belum dapat menjanjikan hasil yang baik kerana ideanya menurut acuan Barat," katanya. 

Menurutnya, Dasar Wanita Negara yang pernah dirancangkan sebelum ini menemui kegagalan kerana ideologinya tidak berteraskan Islam. "Selagi dasar dan program yang dirancangkan tidak berteraskan Islam, selagi itu setiap program yang disusun akan menemui kegagalan. "Akibat sistem pendidikan negara yang tidak berlandaskan Islam juga menyebabkan gejala sosial kian bertambah sehingga ia berlaku krisis moral yang amat membimbangkan," katanya pada Dialog Hawa sempena Mesra 2001 yang bertemakan Masyarakat Harmoni Generasi Gemilang, di Dataran MPKB, baru-baru ini. 

Program itu, dirasmikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Program berkenaan dianjur bersama Perkim Bahagian Negeri Kelantan, Jawatankuasa Praktikal Tahun Akhir (JPTA) dan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) dengan kerjasama Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan dan Persatuan Cina, India, dan Siam negeri. 

Turut diundang sebagai panel yang dipengerusikan seorang peguam, Mumtaz Mohd Nor, Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Asmah Bee Mohd Nor dan pendakwah bebas yang juga Mudir Pondok Talak, Ustaz Isa Wahab. 

Zailah berkata, sekiranya ingin melahirkan sebuah negara yang aman, di samping rakyatnya berilmu dan bertaqwa, dasar pentadbiran negara hendaklah berlandaskan Islam. Sempena majlis yang berlangsung selama empat hari tiga malam itu, turut diadakan forum, pertandingan keluarga antara kaum, malam kebudayaan pertandingan memasak, kuiz, pertandingan si comel pintar, gema persada nasyid, khidmat kesihatan, pertandingan seni khat jawi dan kaligrafi Cina. 

Sementara itu, Asma Bee menyeru golongan hawa supaya bersyukur dengan kejadian Allah, di mana mereka dijadikan sebagai golongan yang penuh kelembutan serta sifat keibuan.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan