MB dukacita cadangan ambil sekolah agama rakyat

KOTA BHARU, 1 Julai - Menteri Besar Kelantan melahirkan dukacita terhadap cadangan sesetengah pihak supaya pentadbiran sekolah agama rakyat diambil alih kerajaan Pusat.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, mungkinkah usaha itu mahu dilakukan kerana terpengaruh dengan propaganda Presiden Amerika yang mahu pendidikan Islam diketepikan.

"Pihak yang mencadangkan supaya pentadbiran sekolah agama rakyat diambil alih untuk dibuat apa.
"Sedangkan guru-guru pondok yang mengasas sekolah agama rakyat dan institusi pengajian pondok memain peranan penting menyebarkan dakwah Islam kepada masyarakat," katanya ketika merasmi Hari Yayasan Islam Kelantan (Yik) di sini, 1 Julai.

Hari Yik tahun ini disambut di Dewan Besar, Kompleks Balai Islam Lundang sehingga berlaku kesesakan lalu lintas menghala ke tempat tersebut. Dewan besar itu dipenuhi ribuan guru-guru, pegawai serta kakitangan Yik, penghulu-penghulu, pegawai Dakwah Halaqat dan anggota-anggota majlis, majlis daerah.

Akhbar bertarikh 1 Julai melaporkan, Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan mencadangkan sekolah-sekolah agama rakyat diletak di bawah sistem pendidikan kebangsaan bagi membendung perpecahan serius di kalangan orang Melayu. Menurutnya, kerajaan Pusat boleh memohon persetujuan Majlis Raja-raja bagi tujuan itu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, sekolah-sekolah agama rakyat di Kelantan menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam akademik dan ko kurikulum.

Maahad Tahfiz al Quran milik Yik di Pulai Chondong membuktikan perkara itu apabila mendapat keputusan 100 peratus dalam peperiksaan SPM sejak empat tahun lalu.

Sementara itu, guru-guru Yik melahirkan rasa tidak senang terhadap cadangan Ku Li itu, supaya pentadbiran sekolah agama rakyat diambil alih sepenuhnya kerajaan Pusat.

Seorang guru yang enggan dikenali berkata, sistem yang ada sekarang sudah sesuai iaitu bantuan geran daripada kerajaan Pusat secara terus kepada sekolah-sekolah agama rakyat tanpa perlu mengambil alih pentadbirannya.

Menteri Besar juga berkata, kenyataan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Dato' Dr Hamid Othman kononnya kecenderungan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz merugikan sebagai berfikiran sempit. Katanya, mereka hanya mahu menghalang pendidikan tahfiz yang berkembang pesat di Kelantan.

"Pemikiran seperti itu lebih sempit daripada tempurung jantan. "Sedangkan pendidikan tahfiz bukan sahaja terdapat di Kelantan malah di Masjid Negara sendiri ada kelas tahfiz," katanya.

Pada ucapan yang sama beliau tidak mahu ada di kalangan guru-guru Yik masih berfahaman agama dan politik adalah perkara asing. Menurutnya, sekiranya masih wujud fahaman seperti itu, ia adalah sesuatu yang malang kerana bercanggah dengan hasrat kerajaan negeri. Menurutnya, kerajaan Kelantan bersungguh-sungguh mengutamakan pendidikan agama kepada rakyat berbanding perkara lain.

"Sekiranya ada permohonan membina jambatan daripada penduduk, namun ia dianggap belum mendesak, kerajaan tidak mempertimbangkan lagi bagi memboleh peruntukan tersebut diagih kepada pendidikan Islam.

"Pendidikan Islam merupakan aset penting bagi melahirkan rakyat yang berilmu agama dan mahir dalam bidang profesional," ujarnya.

Pada majlis itu, bekas anggota Exco kerajaan negeri, Ustaz Yahya Othman diisytiharkan sebagai Tokoh Pendidik Yik 2002.
Beliau menerima cenderamata dan tiket penerbangan mengerjakan umrah di Makkah daripada Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Sebelum itu, Menteri Besar menyampaikan hadiah kepada sekolah terbaik bagi kategori bantuan penuh kerajaan negeri 2001 iaitu Maahad Muhammadi Perempuan dan kategori bantuan, Sekolah Menengah Ugama (Arab) Hamidiah Padang Lepar.

Manakala Mohd Amin Zakaria bekas pelajar Sekolah Menengah Ugama (Arab) Rahmaniah, Kuala Krai diisytiharkan penerima anugerah kecemerlangan Tuan Guru Menteri Besar. Beliau berasal dari Temalir, Kuala Krai mendapat 3A, 1B pada peperisksaan STPM tahun lalu. Kini sedang melanjut pengajian di UPM, Serdang.

Menteri Besar juga melancarkan rancangan MS ISO 9002 Yik.