Letak jawatan: Media keliru - MB

KOTA BHARU, 1 Julai - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan media massa keliru dengan memainkan isunya kononnya beliau mahu meletak jawatan. Beliau berkata, pihak media sebenarnya keliru terhadap kenyataannya sebelum ini.

"Sebelum ini saya menjelaskan sekiranya parti sudah tidak memerlukan khidmat saya lagi dan keadaan kesihatan pun tidak mengizinkan, saya bersedia tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang," katanya selepas merasmikan Hari Yayasan Islam Kelantan (Yik) di sini, 1 Julai.

Hadir sama termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Tengku Shah Buddin Tengku Mohd Maasum, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Teknologi, Ustaz Hassan Muhamad, Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Wilayah, Haji Takiyuddin Hassan dan Mufti kerajaan negeri, Dato' Hasbullah Mohd Hassan.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Menteri Besar Kelantan membayang mahu meletak jawatan selepas pilihan raya umum akan datang kerana menganggap sudah lama memegang jawatan tersebut.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan itu ketika ditemui pemberita selepas melawat jambatan Tendong di Pasir Mas, baru-baru ini.

Ditanya pemberita mengenai perkara itu, beliau menjelaskan hasratnya untuk berundur selepas parti tidak lagi memerlukan khidmatnya dan kesihatannya tidak mengizinkan lagi.

"Sebab itu sehingga sekarang saya mahu anggota-anggota Exco yang ada belajar menjadi Menteri Besar," katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, dalam Islam kita perlu memikul amanah yang diletak di atas bahu masing-masing selagi terdaya tanpa meletak jawatan secara tiba-tiba.