Kelantan berupaya jadi jelapang makanan negara

KUALA KRAI, 14 Jun - Kerajaaan PAS berjaya membuktikan kemampuan untuk menjadikan Kelantan sebagai jelapang makanan utama di negara ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Masyarakat dan Industri Desa, Haji Omar Mohamad berkata, produktiviti sektor pertanian menunjukkan peningkatan termasuk dari aspek pengeluaran hasil dan keluasannya.

Katanya, pelbagai jenis tanaman yang diusahakan menunjukkan peningkatan yang begitu memberangsangkan.
Misalnya tanaman getah pada tahun 1990 seluas 128,000 hektar meningkat kepada 152,000 hektar pada tahun 2000.
Kelapa sawit seluas 66,000 hektar (1990) bertambah kepada 80,000 hektar (2000).

Tanaman campuran 13,000 hektar (1990) meningkat kepada 21,611 hektar (2000). Padi 62,000 hektar (1990) bertambah kepada 75,000 hektar (2000).

Kebun buah-buahan 10,000 hektar (1990) meningkat kepada 55,000 hektar (2000). Begitu juga sayur-sayuran 2,000 hektar pada 1990 bertambah kepada 3,118 hektar tahun 2000.

"Rakyat boleh membuat penilaian sendiri terhadap usaha yang dilakukan kerajaan negeri untuk menjadikan Kelantan sebagai jelapang makanan negara," katanya ketika merasmi pelancaran Ke Arah Merealisasikan Kelantan Sebagai Jelapang Makanan Negara peringkat jajahan Kuala Krai di sini, 11 Jun lalu.

Penolong Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen), Nor Azman Abdul Ghani berkata, Kelantan merupakan pengeluar padi yang kedua terbesar di negara ini selepas Kedah.

Katanya, pada tahun 2000 sebanyak 124,000 metrik tan padi berjaya dihasilkan. Pengeluarannya meningkat kepada 261,712 meteri tan tahun lalu.

Menurutnya, Kelantan juga menduduki tempat kedua dari segi keluasan tanaman buah-buahan, sayur-sayuran dan tanaman kontang.

"Kelantan merupakan pengeluar kambing dan biri-biri utama di negara ini dengan bilangan populasi pada tahun 1999 sebanyak 93,000 ekor.

"Begitu juga ternakan lembu Kelantan sekarang sebanyak 126,660 ekor iaitu kedua terbanyak selepas Pahang," katanya.
Penolong Kanan Ketua Jajahan Kuala Krai, Haji Mohd Nasir Che Ali berkata, jajahan itu mempunyai 14 Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) membabitkan keluasan 15,579 hektar dan bilangan peneroka seramai 3,692 orang.

Katanya, berdasarkan kepada jumlah itu, sebanyak 1,892 lot yang sudah dijelas premium kepada Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai.

Menurutnya juga, tunggakan hasil tanah semasa yang belum dijelaskan orang ramai di Kuala Krai masih lagi tinggi iaitu RM166,000.

"Sedangkan jumlah yang sepatutnya dipungut bagi tempoh semasa iaitu sebanyak RM370,000," katanya.
Beliau juga mendedahkan masih ramai penduduk yang tidak pernah memohon untuk menjelaskan premium tanah kepada kerajaan biarpun tanah tersebut diduduki mereka.