Isu dosa, pahala perlu diperbesarkan - MB

KOTA BHARU, 15 Jun - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap isu dosa pahala perlu diperbesarkan bagi memberi kefahaman yang jelas kepada masyarakat.

Menteri Besar Kelantan berkata, kefahaman rakyat terhadap perkara itu perlu diperjelaskan lagi bagi melahirkan keikhlasan mereka untuk melakukan sesuatu kerja.

"Misalnya penglibatan sesetengah pihak dengan badan kebajikan seperti Perkim tanpa dibayar gaji, namun ia tidak menghalang mereka untuk terus berkhidmat. "Ini menggambarkan mereka sudah faham mengenai dosa dan pahala yang bakal diraih dengan menabur khidmat kepada Perkim," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan Perkim Bahagian Kelantan ke-26 di JKR 10 di sini, 13 Jun. Hadir sama, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Ustaz Mohamed Daud dan Ustaz Hassan Muhamad. Wakil Perkim dari setiap jajahan di Kelantan dan Selatan Thailand.

Menteri Besar berkata, persoalan mengenai dosa dan pahala merupakan perkara lama yang timbul sejak zaman Nabi lagi.
"Saya cuba timbulkan isu ini, namun ada orang marah, sedangkan ia sudah berlaku sejak zaman awal kebangkitan Islam lagi.

"Sudah menjadi kelaziman setiap sesuatu yang baik akan ditentang oleh banyak pihak yang tidak faham mengenainya," katanya.

Sebuah akhbar bertarikh 13 Jun melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Abdul Hamid Zainal Abidin dipetik sebagai berkata, dakwaan Mursyidul Am PAS dalam soal dosa pahala adalah gimik politik yang cuba mengheret konsep sedemikian untuk kepentingan parti.

Sebelum itu, ruangan bisik-bisik Awang Sulung mengemukakan soalan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz, manusia masuk ke syurga kerana pahala atau rahmat Allah.

Ekoran itu, Menteri Besar menjawab melalui ruangan surat pembaca akhbar yang sama bertarikh 12 Jun. Kemudian Awang Sulung menggunakan medannya di akhbar terbabit bagi menjawab kembali surat tersebut.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz ketika ditemui bagi menjelaskan perkara itu, hari ini enggan mengulas lanjut.
"Biarlah isu tersebut berakhir di situ," katanya.

Bagaimanapun pelbagai pihak di sini menjelaskan wartawan kanan akhbar berkenaan cuba mengelirukan orang ramai mengenai konsep sebenar dosa dan pahala.

Adun Dabong, Haji Abdul Ghafar Yusof berkata, isu dosa dan pahala adalah perkara asas yang difahami setiap orang Islam yang muqalaf. Katanya, hujah masuk syurga dengan rahmat Allah adalah perkara jelas yang tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.

"Begitu juga soal balasan baik dan jahat terhadap setiap perbuatan dilakukan manusia dengan dijanjikan pahala dan dosa adalah perkara pokok yang mudah difahami.

"Nabi Muhamad saw diutuskan untuk mengajar manusia supaya melakukan perkara baik. Balasan setiap perbuatan itu adalah pahala. Begitu juga sebaliknya.

"Ini bermakna soal dosa dan pahala adalah perkara asas sebelum seseorang itu diberi rahmat untuk memasuki syurga di akhirat kelak," katanya.

Seorang guru agama, Ustaz Zulkefli Zakaria berkata, isu dosa dan pahala perlu diperbesar, memandangkan ada pihak masih bimbang apabila umat Islam memahami tuntutan agama, mereka pastinya akan menolak parti berasaskan sekular.
Menurutnya, isu pokok ditimbulkan sebelum ini oleh Menteri Besar iaitu mengundi parti yang mahu mendaulatkan hukum Allah mendapat pahala, tidak boleh dinafikan. Katanya, isu itu mudah difahami kerana setiap sesuatu yang baik akan dibalas dengan ganjaran pahala.

"Soal dosa dan pahala ditimbulkan semata-mata mahu mendidik umat Islam supaya melakukan sesuatu yang tidak bercanggah dengan kehendak agama," ujarnya.

Menteri Besar juga mempertikaikan sikap sesetengah pihak yang merasa rimas apabila ramai orang bukan Islam terutamanya di kalangan Orang Asli menganut agama Islam.

Katanya, mereka bimbang sekiranya ramai Orang Asli menganut Islam, maka tidak ada lagi budaya tradisi penduduk berkenaan yang boleh dipersembahkan kepada pelancong asing.
"Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku, memandangkan ia hanya memberi keuntungan setakat dunia sahaja dan tidak sampai ke akhirat.

"Kita sepatutnya kena pertahankan budaya yang boleh memberi keuntungan kepada dunia dan akhirat," ujarnya.
Beliau juga berharap Perkim Kelantan akan menjadi contoh kepada Perkim negeri-negeri lain, bagi menjaga kebajikan saudara kita yang baru menganut Islam.