Peruntukan setengah bilion bantu kontraktor kroni

TUMPAT, April- Kerajaan Pusat dikatakan terpaksa mengeluarkan peruntukan sehingga lebih setengah bilion bagi memastikan kontraktor-kontraktor kroni Umno mendapat projek secara mudah. Peruntukan tersebut termasuk dikeluarkan melalui Kementerian Pendidikan bagi membina bangunan baru dan membaik pulih sekolah-sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri. Difahamkan sebanyak RM600 juta yang dilulus bagi tujuan itu untuk membina 140 sekolah di Kelantan.

Anggota Parlimen Kubang Kerian, Haji Husam Musa berkata, peruntukan begitu besar dilulus melalui kementerian terbabit untuk memastikan kontraktor-kontraktor Umno mendapat projek. Katanya, projek tersebut kadang kala tidak dianggap munasabah kerana bangunan-bangunan sekolah yang masih sempurna dibaiki lagi.

"Malah difahamkan, kontraktor mendapat projek tersebut tanpa perlu melalui tender terbuka dan hanya sekadar mendapat memo daripada pejabat Timbalan Menteri," katanya di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, keadaan itu menggambarkan projek tersebut diluluskan semata-mata memastikan kontraktor-kontraktor kroni Umno mendapat projek secara berterusan.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan mahu pembinaan sekolah-sekolah di Kelantan dipercepatkan bagi memberi peluang luas kepada anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna. Menurutnya, kerajaan Pusat memperuntukan sebanyak RM600 juta bagi membina 140 sekolah di negeri ini.
Malah sebelum itu, Pergerakan Pemuda Umno Kelantan mahu setiap projek kerajaan Pusat di negeri ini dipastikan diberi kepada kontraktor yang hanya menyokong Umno.

Hakikat itu diakui beberapa kontraktor yang ditemui, di mana mereka mendedahkan sukar mendapat projek kerajaan Pusat sekiranya tidak menyatakan sokongan terbuka kepada Umno. Menurutnya, mereka terpaksa bergerak aktif dalam Umno termasuk menghadiri program-program yang dijalankan parti itu untuk menampakkan sokongan secara terbuka.

Seorang sub kontraktor turut mendedahkan beliau dipaksa bersumpah dan mengisi borang Umno bagi membolehkan mendapatkan lesen serta memasuki tender untuk mendapat projek-projek kerajaan Pusat. Katanya, kontraktor-kontraktor di Kelantan dipaksa berbuat demikian.

"Sekiranya peraturan seperti itu tidak diikuti, kami disisih daripada mendapat sebarang projek kerajaan Pusat terutamanya membina bangunan sekolah.

"Pernah seorang rakan memberitahu dia terpaksa bersumpah dengan nama Allah dan mengisi borang Umno untuk melayakkan memasuki tender kerajaan Pusat," katanya.

Menurutnya, Umno juga melantik agen khas di kalangan kontraktor untuk mengesan mereka ingin memasuki tender kerajaan, sama ada penyokong Umno atau Barisan Alternatif.

Pembinaan bangunan baru sekolah di Kelantan sekarang semakin rancak dijalankan termasuk di kawasan pedalaman.
Malah, ada bangunan sekolah yang masih kukuh dan kuat dibaiki atau diruntuh untuk membolehkan bangunan baru didirikan.

Ada juga bangunan sekolah hanya ditukar di bahagian atap. Manakala di bahagian depan projek berkenaan dinaikkan papan kenyataan yang mempunyai gambar dacing biru (Barisan Nasional).

"Ini secara jelas menggambarkan projek-projek yang dijalankan sekarang semata-mata untuk memberi keselesaan kepada kontraktor Umno dan bukan berdasar kepada keperluan semasa," Adun Guchil, Ustaz Zulkefli Yaakob.

Menurutnya, limpahan projek tersebut mungkin sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM4 bilion yang digunakan untuk menawan kembali Kelantan dan Terengganu pada pilihan raya umum akan datang.