Tolak syariat punca gejala sumbang mahram

KOTA BHARU, 21 April - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, jenayah sumbang mahram semakin berleluasa sekarang berlaku antaranya berpunca kerana menolak syariat Allah.

"Semua jenis jenayah sebenarnya berpunca daripada penolakan syariat Allah dan sikap tidak mengambil kira persoalan dosa, pahala, nikmat, azab kubur, syurga dan neraka di akhirat," kata Menteri Besar pada satu kenyataan di sini.
Menurutnya, semua kaum dan bangsa sudah lama terdidik untuk mengejar kebendaan, pengaruh dan kuasa tanpa menjadikan ajaran agama sebagai neraca pertimbangan.

Beliau berkata, penolakan ajaran agama dan berkuatkuasa sistem pemerintahan sekular ditaja Yahudi merupakan punca penyumbang kepada pemujaan hawa nafsu.

Akhbar baru-baru ini, melaporkan gejala sumbang mahram semakin meningkat di kalangan orang Melayu di negara ini, sekarang. Ekoran itu, kerajaan bercadang memansuhkan hukuman minimum penjara dan sebatan bagi kesalahan rogol dan sumbang mahram.

Menteri Besar berkata, cadangan kerajaan meminda undang-undang jenayah bagi menangani jenayah sumbang mahram mungkin tidak berjaya sepenuhnya.

"Usaha untuk meluluskan undang-undang seberat mana pun tidak akan berjaya menghentikan jenayah ini selagi tidak disertakan dengan tarbiah rohani dan 'political will' untuk kembali kepada sistem dan pemerintahan dan perundangan Islam.
"Jika pendekatan undang-undang sahaja diambil kira, maka contohnya dilihat di Eropah yang jelas membuktikan kegagalannya," katanya.

Misalnya pada 1930-an, kerajaan Amerika pernah mengharamkan arak, tetapi 10 tahun selepas itu, negara tersebut menghalalkan semula kerana tuntutan masyarakat.

Menurutnya, pendekatan perundangan hanya akan berkesan apabila disertai dengan tarbiyah rohani dan melalui pemantapan aqidah tauhid serta pelaksanaan syariat Allah. Kini segala bentuk jenayah dan kemungkaran berlaku di Barat termasuk homoseks dan lesbian.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan juga perlu menyekatkan elemen-elemen yang boleh menjurus kepada perbuatan tersebut termasuk bahan bacaan lucah, video cakera padat lucah, kelab dangdut, disko, karaoke dan iklan yang menimbulkan ghairah. Oleh itu, beliau berkata, hanya Islam sahaja yang dapat menjamin kesejahteraan hidup dan menyelesaikan permasalahan manusia.

Beliau juga membangkitkan banyak lagi jenayah-jenayah lain yang perlu diberi perhatian termasuk kes Perwaja, Tabung Haji, penyelewengan wang Program Pembangunan Rakyat Termiskin dan penganiayaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim.