BA kuasai negeri lain bila demokrasi dihormati

KOTA BHARU, 21 April - PAS dan Barisan Alternatif (BA) berkeyakinan dapat menawan beberapa negeri lagi pada pilihan raya umum akan datang, sekiranya batas-batas demokrasi dihormati pemerintah.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, peluang untuk menguasai negeri-negeri lain lagi ada, sekiranya demokrasi di negara ini berjalan dengan sempurna. Katanya, semua pihak sepatutnya menghormati demokrasi dengan melarang kegiatan bercanggah dengan tuntutan sistem itu apabila berdepan dengan pihak lawan.

"Bagaimanapun malangnya, demokrasi di negara ini dicengkam dan dilanggar sesuka hati oleh pemerintah.
"Sebab itu saya sudah jelaskan sebelum ini, Malaysia tidak boleh ditolak sedang menuju ke arah sistem komunis yang menyekat banyak kegiatan pembangkang," katanya pada temubual dengan wartawan Reuters, Jalil Hamid di sini, 19 April.

Sebelum itu, beliau menyampaikan kuliah mingguan di Dewan Zulkefli Muhamad, Pejabat Perhubungan PAS Kelantan.
Pada akhir kuliah tersebut, beliau melancarkan buku terbaru tulisan Setiausaha Politiknya, Haji Annual Bakhri Harun dan Kamarul Zaman Yusoff. Buku tersebut bertajuk 'Negara Islam - Nota-nota penting buat Dr Mahathir' diterbit Pustaka Qamar. Ia dijual dengan harga RM20.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, banyak alasan yang menunjukkan demokrasi di negara ini dilanggar sewenang-wenangnya oleh pemerintah termasuk tidak membenarkan ceramah terbuka, tangkapan ISA dan menghadkan akhbar milik pembangkang.

Baru-baru ini, Naib Presiden PAS, Dato' Haji Mustafa Ali dilaporkan berkata, PAS menjangka dapat menawan empat lagi negeri pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan situasi yang berlaku sekarang. Negeri-negeri terbabit iaitu Kedah, Perlis, Selangor dan Pahang.

Ditanyai wartawan agensi berita asing terbabit mengenai persaraan daripada politik, Menteri Besar berkata, dalam politik Islam tidak ada istilah bersara. "Politik yang berkait dengan Islam adalah sebahagian daripada kerja-kerja dakwah.
"Macam mana hendak berhenti sedangkan perkara itu boleh mendatangkan ganjaran pahala," katanya.
Menurut beliau, sekiranya bersara dari pentas politik Islam sudah tentu tidak lagi memperolehi pahala seperti sekarang.

Beliau juga berpendapat, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad boleh kekal sebagai Perdana Menteri di negara ini sampai bila-bila kerana dia mengawal secara ketat musuh politiknya.
"Dia boleh menjadi Perdana Menteri sehingga ke dalam kubur," ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Menteri Besar dan rombongannya termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Teknologi, Ustaz Hassan Muhamad berlepas ke Kuwait semalam untuk melakukan lawatan rasmi. Katanya, lawatan tersebut dibuat atas jemputan sebuah badan bukan kerajaan di negara berkenaan. Di samping itu, mengadakan perbincangan mengenai peluang melanjutkan pelajaran pelajar dari Kelantan ke universiti di Kuwait.
Menteri Besar juga dijangka melawat beberapa negara lain sepanjang lawatan dua minggu itu.