Projek perumahan RM1.1 juta di Pasir Puteh

KOTA BHARU, 22 Jun  - Sebuah syarikat pemaju milik bumiputera, Atira Development Sdn Bhd memanterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Majlis Daerah Pasir Puteh bagi membina projek perumahan yang membabitkan kos RM1.1 juta.

Perjanjian usahasama itu merupakan yang ketiga membabitkan Atira dengan pihak penguasa tempatan di negeri ini.
Turut menyaksikan peristiwa bersejarah itu termasuk, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Projek perumahan yang membabitkan 27 unit itu terletak di tempat strategi iaitu Bukit Tanah, akan dilengkapi dengan surau, kawasan lapang dan taman permainan.

Majlis Daerah Pasir Puteh diwakili Yang Dipertuanya, Haji Kamaruddin Mohd Zain dan setiausaha, Mohd Azri Abdul Rahim serta Ketua Ahli Majlis, Majlis Daerah Pasir Puteh, Che Bisi Hassan. Manakala mewakili Atira Development ialah Pengarah Urusannya, Ariffin Mahmud.

Ariffin ketika ditemui selepas itu berkata, projek perumahan tersebut dijangka dapat siap dalam tempoh dua tahun.
Katanya, projek itu adalah yang ketiga dilaksanakan Atira selepas pembinaan 14 unit rumah kedai di Ketereh bersama Majlis Daerah Kota Bharu dan projek Taman Seri Atira di Kok Lanas menerusi projek usahasama dengan Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin).

Beliau berkata, pihaknya bersedia membangunkan negeri ini selagi diberi kepercayaan kerajaan negeri.
"Adalah menjadi tanggungjawab kami juga untuk memajukan negeri ini seiring negeri-negeri lain di pantai barat," ujarnya.
Munurutnya, fitnah yang dilemparkan terhadap Kelantan tidak membangun sebelum ini akan terjawab dengan sendiri.