Kelantan cadang wujud 'Bandar Afta'

KOTA BHARU, April - Kelantan dianggap negeri pertama di negara ini yang mewujudkan 'Bandar Afta' bagi menghadapi Zon Perdangangan Bebas Asean (Afta) pada 2003. Projek melibatkan kos ratusan juta itu akan dibangunkan di Lubuk Jong, Pasir Mas membabitkan kawasan seluas 531 ekar dengan kos RM615.6 juta. Kawasan itu meliputi tanah kerajaan seluas 171.6 ekar dan selebihnya milik penduduk tempatan.

Timbalan Menteri Besar, Dato' Haji Abdul Halim Abdul Rahman berkata, projek ini akan dibangunkan syarikat dari Kuala Lumpur, Puelu-Home Overight Sdn Bhd.

"Bandar seumpama ini adalah yang pertama diwujudkan di negara ini yang mempunyai elemen sebagai pelabuhan darat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, 23 April.

Menurutnya, barangan daripada anggota Afta akan masuk ke negara ini melalui kawasan tersebut sebelum dipasarkan ke tempat-tempat lain.

Beliau berkata, pembinaan bandar baru itu dijangka mengambil masa tiga tahun.
"Mesyuarat Exco hari ini meluluskan projek tersebut dan dalam masa yang singkat syarikat terbabit akan diberitahu supaya dapat membangunkannya secepat mungkin," katanya.

Bandar berorientasikan pengangkutan itu bakal mengandungi kompleks perniagaan, rumah kediaman, kedai, kilang industri kecil dan sederhana. Selain itu ia juga akan dilengkapi kompleks Imigresen.

Timbalan Menteri Besar berkata, kos keseluruhan projek tersebut iaitu sebanyak RM615.658 juta. Ia merangkumi pembinaan perumahan sebanyak RM102.8 juta, kompleks perniagaan (RM242 juta), perindustrian (RM52.3 juta), industri dan kemudahan asas (RM17.5) dan infrastruktur (RM82 juta).

"Adalah dijangka pada tahun 2010, kira-kira 10,000 penduduk akan tinggal di kawasan tersebut," ujarnya.
Menurutnya juga, projek itu akan dijalankan secara kerjasama dengan Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) yang diberi hak milik tanah seluas 171.6 ekar oleh kerajaan negeri.

Tanah tersebut diberi kepada MDPM untuk membuat kerjasama dengan syarikat terbabit dalam bentuk 'profit share' dan bukan kaedah tanggungan. "Modal untuk melaksanakan projek tersebut sudah disediakan syarikat berkenaan," tambahnya.