Kelantan pengeluar udang utama negara

KOTA BHARU, 26 April - Kelantan dijangka menjadi pengeluar utama udang di negara ini apabila ladang penternakan seluas 110 ekar diluluskan kerajaan negeri beroperasi sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Masyarakat dan Industri Desa, Haji Omar Mohamad berkata, kerajaan negeri meluluskan Syarikat Tok Bali Aquakultur Sdn Bhd memajukan projek tersebut di bawah rancangan Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

"Projek itu melibatkan kosnya sebanyak RM7.29 juta bagi mewujudkan perladangan udang dan aktiviti akuakultur yang akan dijalankan melalui dua fasa. "Ia akan dijalankan secepat mungkin dan dijangka mengeluar hasil dalam tempoh 24 bulan," katanya di sini.

Projek ternakan udang jenis harimau itu akan merangkumi pembinaan lapan kolam. Jumlah kos yang dibelanjakan bagi membina lapan kolam tersebut dianggarkan sebanyak RM721,000.

Haji Omar berkata, projek itu akan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat dan hasilnya dapat dipungut kerajaan negeri.
Selain itu, katanya, ia akan dapat menjana pertumbuhan ekonomi, serta meningkatkan bahan pemakanan untuk pasaran tempatan dan eksport.

Menurutnya, kawasan yang akan dimajukan projek berkenaan termasuk dalam persetujuan bersama di antara kerajaan negeri dan Pusat sebelum ini. Perjanjian persefahaman di antara kerajaan negeri dan Pusat telah ditandatangani beberapa tahun lalu, ketika lawatan Menteri Pertanian, Dato' Effendi Norwawi ke Kelantan.

"Memandangkan jumlah modal dimiliki syarikat berkenaan besar, kita percaya projek tersebut berdaya maju kerana mereka mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan.

"Kita juga berharap penduduk tempatan berpeluang menimba kepakaran daripada syarikat terbabit," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Haji Omar berkata, kerajaan negeri menyediakan kawasan seluas 1,289 ekar untuk penempatkan penduduk yang sering terbabit dengan banjir di bandar Gua Musang. Katanya, seramai 2,000 penduduk setinggan dikenalpasti ditempatkan di penempatan berkenaan iaitu di Tanah Putih.

"Sehingga kini kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak 319,260 dan tambahan lagi sebanyak RM305,000 untuk membekalkan bekalan air bersih dan membina kemudahan jalan di penempatan baru itu," katanya.

Pada fasa 1 projek berkenaan terdapat 136 lot kediaman dan bangunan-bangunan lain yang sudah dibina.
Penempatan berkenaan turut didiami penduduk Cina. Jumlah lot juga akan ditambah bagi menampung pertambahan penduduk. Kerja-kerja awal bagi mewujudkan penempatan Tanah Putih dijalankan pada 1994.