Penduduk Singapura bangga kejayaan Kelantan

KOTA BHARU, 30 Jun - Penduduk Melayu Singapura melahirkan rasa bangga terhadap kerajaan PAS Kelantan berjaya mengangkat martabat Islam untuk dipraktik dalam kehidupan rakyat.

Rombongan Pusat Bahasa Arab repbulik itu yang melawat Kelantan baru-baru ini memberitahu kejayaan itu seharusnya dipertahankan rakyat negeri ini.

Ketua rombongan berkenaan, Ustaz Misdi Talimin, 42 berkata, hakikat tersebut dapat dirasai apabila datang sendiri melawat Kelantan.
"Sedangkan sebelum ini kami telah momok dengan maklumat yang salah dan jauh berbeza dengan apa yang berlaku sebenarnya," katanya ketika ditemui selepas mendengar taklimat mengenai perkembangan negeri ini oleh anggota Exco, Ustaz Abdullah Ya'kob, di JKR 10, baru-baru ini.

Misdi berkata, sebelum ini mereka dimomok dengan berita negetif mengenai kerajaan Kelantan termasuk tuduhan mendiskriminasikan golongan wanita. Selain itu, tidak membenarkan wanita bekerja dan tidak ada kemajuan dilaksanakan.

"Setelah datang melihat sendiri, suasana yang berlaku tidak seperti yang difahamkan sebelum ini.
"Dakwaan tersebut sama sekali tidak benar dan hanya mahu memburukkan kerajaan negeri di bawah PAS," katanya.

Beliau juga berkata, Menteri Besar Kelantan adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat yang patut dicontohi semua pihak.
Katanya juga, pihak persatuan akan menganjur lebih banyak lagi lawatan pada masa akan datang ke Kelantan dan Terengganu bagi merapatkan hubungan sesama umat Islam.