Projek pembangunan tebing Sungai Kelantan RM2 bilion

KOTA BHARU, 30 Jun  - Kerajaan negeri melulus projek pembangunan dan pengindahan Sungai Kelantan di sebelah Kota Bharu dan Tumpat yang membabitkan kos kira-kira RM2 bilion.

Projek tersebut akan dibangunkan di bahagian utara Jambatan Sultan Yahya Petra sampai ke Pulau Jerami di Banggol. Pembangunannya membabitkan kedua-dua belah tebing Sungai Kelantan. Pembangunan projek berkenaan membabitkan kawasan seluas 1,000 ekar meliputi jajahan Kota Bharu dan Tumpat.

Timbalan Menteri Besar, Dato' Haji Abdul Halim Abdul Rahman berkata, projek tersebut akan dimajukan oleh Linziz Sendeco Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan berpejabat di Kota Bharu.

Katanya, pembangunan yang dirancang meliputi empat zon. Zon A meliputi kawasan seluas 280 ekar di Pulau Jerami, zon B membabitkan keluasan 150 ekar di sebelah utara Jambatan Sultan Yahya dan zon C meliputi kawasan seluas 270 ekar di jajahan Tumpat. Manakala zon D meliputi Lembah Sireh tidak dibangunkan dan hanya direzabkan terlebih dahulu.

"Pembangunan yang akan dijalankan lebih ditumpukan kepada tiga zon iaitu A, B dan C. Bagaimanapun bagi zon D kerajaan negeri akan membuat keputusan kemudian. "Sekiranya pembangunan zon tersebut dianggap perlu, kita akan tawarkan kepada syarikat Linziz Sendeco," katanya selepas mesyuarat Exco di sini, 19 Jun lalu.

Menurutnya, projek pembangunan tebing barat Sungai Kelantan di bahagian utara Jambatan Sultan Yahya Petra meliputi kawasan seluas 700 ekar. Beliau berkata, projek pembangunan tersebut dianggap boleh menjanakan ekonomi Kelantan.

Katanya, mesyuarat Exco setakat ini hanya melulus permohonan projek tersebut sahaja, manakala elemen lain akan ditentukan kemudian. Tanah yang akan dimajukan adalah tanah kerajaan dan tidak melibatkan milik persendirian.

Ditanyai bentuk projek tersebut, katanya kerajaan negeri setakat ini tidak menentukan projek itu dibangunkan sama ada secara usahasama dengan agensi kerajaan atau tidak.

Menurut Timbalan Menteri Besar, antara kompenan yang akan dimajukan termasuk projek perumahan, taman rekreasi, pusat peranginan, hotel, kemudahan marina dan pusat air, taman awam dan jambatan merentangi Sungai Kelantan.

Selain itu, rumah kedai komersial, pelbagai kemudahan sosial untuk penduduk tempatan, kompleks membeli belah antarabangsa, bangunan pejabat, pusat komersial, lingkaran jalan ke semua arah ke bandar Kota Bharu, water front, laluan penjalan kaki dan jeti awam.

"Jambatan baru juga akan dibina di Kampung Cina. Selain itu, jalan raya menghubungkan jambatan berkenaan dengan Jambatan Sultan Yahya Petra turut dibina," katanya.

Pada mesyuarat Exco sebelum ini, kerajaan negeri meluluskan untuk mewujudkan sebuah taman rekreasi yang dilengkapi dengan pelbagai prasarana pelancongan sebagai persiapan menjelang pelaksanaan Zon Perdagangan Bebas Asean (AFTA). Taman berkenaan akan dibangunkan di kawasan seluas 45 ekar di Pasir Pekan iaitu di tebing Sungai Kelantan. Taman tema air itu akan dibangun sebuah syarikat tempatan yang membabitkan kos RM39 juta.

Haji Abdul Halim juga berkata, pembangunan projek tebing barat tersebut turut membabitkan pembinaan kompleks stadium khas untuk wanita. Katanya, kompleks terbabit akan dilengkapi kolam renang. Beliau juga berkata, kerajaan negeri menubuh jawatankuasa pemandu bagi memantau projek pembangunan tebing barat Sungai Kelantan yang dipengerusikan Timbalan Menteri Besar.
"Jawatankuasa itu untuk memandu, memantau dan berbincang dengan syarikat berkenaan dari semasa ke semasa," katanya.