PAS kekal sikap sederhana - Mursyidul Am

PASIR MAS, 30 Jun  - PAS akan mengekalkan sikap kesederhanaan sebagaimana berlaku semasa di bawah era kepemimpinan Dato' Haji Fadzil Mohd Noor. Mursyidul Am PAS berkata, sikap kesederhanaan menjadi asas kepada Islam.

"Kalau kamu berkeras dan lantang, orang akan lari, kalau lemah lembut orang akan datang. "Kalau keras orang akan lari, perkara itu disebut oleh Allah sebagai tukang membuat dunia ini," kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya, konsep yang ada sekarang Insya Allah akan kekal dalam kepemimpinan PAS. Katanya, alhamdulillah PAS bergerak dengan nama Islam.

Beliau juga berkata, PAS tidak ketandusan untuk mencari pengganti kepada Allahyarham Ustaz Fadzil kerana ramai pemimpin berkelulusan tinggi sekarang. Katanya, pengganti presiden PAS sekarang sudah ramai dan ia berbeza dengan dahulu.

Menurutnya, pada era Dato' Asri hanya ada beberapa pemimpin PAS yang berpendidikan tinggi. Kata beliau, ketika itu orang beranggapan PAS akan lenyap apabila Dato' Asri tiada.

Bagaimanapun keadaan sebaliknya berlaku, PAS terus berkembang selepas Dato' Asri tidak lagi bersama parti itu.
"Sekarang ramai yang lulus universiti, macam-macam bidang pengetahuan," katanya.

Menurutnya, kita mesti berfikiran terbuka, jangan nampak seorang sahaja. "Saya sendiri sudah tiga penggal menjadi Menteri Besar dan saya cemas kerana takut berlaku salah guna kuasa sebagai Mursyidul Am.

"Bukan Mursidul Am memberi peluang seseorang itu memegang jawatan Menteri Besar. Saya sendiri berasa cemas. Kalau saya tidak Mursyidul Am tak apa.

"Mursyidul am ini dianggap pemandu kepada pemimpin pelapis, tak kan pula sudah tiga penggal kita hendak latih orang selama-lamanya.... itu saya bodoh tidak pandai latih atau murid saya benggang," katanya.

Menurutnya, beliau sudah memberi ingatan kepada anggota-anggota Exco supaya belajar menjadi Menteri Besar.

"Ustaz Fadzil pergi, Allahyarham sempat mendedah kepemimpinan cara dia, beliau orang yang tenang, apa sahaja masalah disebut kepada dia, dia terima dengan tenang, jawab dengan tenang, jawapan dia memang tepat sehingga tidak terfikir oleh saya... biarpun lebih tua daripada dia. "Itu satu kelebihan Ustaz Fadzil," ujarnya.