Jambatan Tendong atasi kesesakan lalu lintas

PASIR MAS, 30 Jun  - Jambatan Tendong ke Wakaf Che yang bernilai RM166.35 juta dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Jambatan Sultan Yahya Petra sekarang. Jambatan tersebut yang kini 78 peratus siap merupakan jambatan keempat merentangi Sungai Kelantan.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, jambatan baru itu dijangka dapat mengatasi ketidakmampuan Jambatan Sultan Yahya Petra yang ada sekarang menampung pertambahan kenderaan.

"Masalah kesesakan lalu lintas pada waktu puncak di jambatan tersebut begitu ketara sekali," katanya selepas melawat projek pembinaan jambatan berkenaan di sini, di tapak projek di Tendong dekat sini, 25 Jun lalu.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Kesihatan dan Alam Sekitar, Ustaz Ahmad Yaakub, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato' Mohd Yusof Nuh, Ketua Jajahan Kota Bharu, Haji Aiseri Alias, pegawai kanan JKR, kontraktor utama, Isyoda (M) Sdn Bhd dan wakil-wakil rakyat.

Sebelum itu, Menteri Besar mendengar taklimat yang disampaikan Penolong Pengarah Kanan Cawangan Jalan JKR, Norlainah Abdul Ghani mengenai perkembangan projek terbabit.

Jambatan tersebut dibina mulai 15 Oktober 1999 dan dijalankan secara reka bina oleh Isyoda. Tempoh kontrak diperuntukan selama 36 bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada 13 April 2003. Jambatan tersebut dibina bagi menampung kesesakan lalu lintas di Jambatan Sultan Yahya dan Jambatan Pasir Mas sehingga tahun 2020. Jambatan berkenaan akan dilengkapi dengan empat lorong dianggap tercanggih di Kelantan.

Menteri Besar berkata, apabila siap sepenuhnya projek berkenaan ia akan membantu mempercepat perkembangan ekonomi di kawasan terbabit. "Ia menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dan sosial di kedua-dua belah jambatan," katanya.

Menurutnya, jambatan baru penting kepada pembangunan Kelantan sama seperti Jambatan Pasir Mas yang dirasmi oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir pada awal tahun 1990-an.

"Jambatan itu bukan sekadar menghubungkan Pasir Mas dengan Salor tetapi menghubungkan kerajaan Kelantan dan Pusat," katanya.