Pegawai tidak hadir program kerajaan dipandang serius

GUA MUSANG, 30 Jun - Ketidakhadiran pegawai dan kakitangan kerajaan negeri di majlis penerangan dasar-dasar kerajaaan di peringkat jajahan dipandang serius oleh pelbagai pihak. Mereka sepatutnya tidak menguzurkan diri untuk hadir pada program berkenaan kerana ia turut melibatkan kehadiran Menteri Besar, anggota-anggota Exco dan wakil-wakil rakyat.

Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood berkata, sepatutnya pegawai dan kakitangan perlu hadir pada setiap program yang diadakan.

"Ini kerana penjelasan mengenai dasar-dasar kerajaan tidak pernah ada tempoh akhirnya kerana banyak perkara baru perlu dijelaskan kepada orang ramai," katanya pada taklimat dasar-dasar kerajaan peringkat jajahan Gua Musang di sini, 26 Jun.
Hadir sama Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Wanita, Belia, Sukan dan Hal Ehwal Pengguna, Ustaz Abdullah Ya'kob, wakil-wakil rakyat dan pemimpin masyarakat. Hanya kelihatan dua pegawai iaitu seorang daripada Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang dan Majlis Daerah Gua Musang yang hadir pada program berkenaan.

Program penjelasan dasar tersebut bagi peringkat negeri dirasmikan Menteri Besar pada 23 Januari lalu di Dewan Teratai, Kota Darulnaim. Manakala bagi peringkat jajahan dimulakan di Dewan Majlis Daerah Tumpat.

Ustaz Wan Jamil berkata, pegawai dan kakitangan kerajaan negeri perlu hadir supaya mereka dapat memahami dengan jelas mengenai setiap dasar berkaitan kerajaan negeri.

"Pelbagai masalah disentuh pada setiap kali penerangan dasar-dasar kerajaan diadakan dan maklumat itu perlu diketahui semua pegawai dan kakitangan sebagai agen pelaksana," katanya.

Adun Salor, Haji Buni Amin Hamzah berkata, pegawai dan kakitangan kerajaan negeri tidak boleh memandang mudah kepada setiap program yang diadakan, kerana ia dapat membantu mereka melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

Katanya, mereka sepatutnya diwajibkan hadir oleh ketua jabatan masing-masing kerana program terbabit turut melibatkan pemimpin kerajaan negeri. "Namun apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya, mereka seolah-olah memandangkan mudah, sedangkan mereka dibayar gaji daripada duit rakyat.

"Berdasarkan kepada pengalaman masa lampau, kita lihat pegawai dan kakitangan kerajaan negeri kurang dibabitkan dengan program kerajaan biarpun ia turut membabitkan kehadiran Menteri Besar," katanya.

Menurut beliau, keadaan seperti itu tidak pernah berlaku di negeri-negeri lain kerana mereka memahami tanggungjawab sebenar sebagai seorang penjawat awam. Kata beliau, sepatutnya pegawai dari Kota Darulnaim juga perlu hadir pada program berkenaan dan bukan menyerah sepenuhnya tanggungjawab itu kepada kakitangan lantikan politik.

"Sehingga kini kita nampak mereka tidak serius bagi membantu kerajaan negeri. Sebenarnya tanggungjawab menjelaskan dasar-dasar kerajaan perlu dipikul pegawai kerajaan negeri kerana mereka sebagai agen pelaksana.
"Pemimpin politik hanya merangka dasar tersebut dan memastikan ia dapat dilaksanakan dengan berkesan," ujarnya.
Oleh itu, beliau mahu kerajaaan negeri mencari pendekatan tertentu bagi mengatasi masalah tersebut kerana era membiarkan pegawai dan kakitangan menentukan haluan sendiri sudah berakhir.

Ustaz Abdullah berkata, intipati setiap penjelasan dasar kerajaan berasaskan kepada dasar Membangun Bersama Islam yang memfokuskan konsep masuliah, ubudiah dan itqan.

Katanya, setiap dasar kerajaan dirangka bagi membebaskan unsur-unsur dosa ditanggung kerajaan dan rakyat di akhirat kelak.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, penjelasan dasar kerajaan perlu dibuat bagi membolehkan pegawai dan kakitangan dapat melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

"Kita gubal dasar kerajaan negeri berasaskan agama supaya dapat menghindarkan rakyat daripada dosa," katanya.
Beliau juga berkata, Ketua Jajahan dilantik sebagai wakil kerajaan negeri bagi menjelaskan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat di setiap jajahan.

"Kita tidak mahu rakyat terpalit dengan dosa dalam kehidupan seharian mereka," tambahnya.