Pindaan Tidak Perlu Perkenan Sultan - MB 

BACHOK, (Hrkh) - Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui pindaan perlembagaan bagi mengurangkan fungsi raja dalam pentadbiran negeri tidak memerlukan perkenan sultan. 

Menurut beliau, pihaknya telah lama mengetahui tentang perkara itu kerana terdapat dalam perlembagaan. Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri bersiap sedia untuk menyelaraskan apa saja pindaan yang sudah dibuat di peringkat persekutuan termasuk mengurangkan campurtangan istana bagi melancarkan lagi jentera pentadbiran kerajaan negeri. 

Penyelarasan tersebut difahamkan membabitkan dua perkara yang belum dipinda di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) sehingga kini. 

Semalam, pakar undang-undang, Dr Abdul Aziz Bari dilapor berkata, kerajaan Kelantan boleh meminda perlembagaan bagi mengurangkan fungsi raja dalam pentadbiran negeri walaupun tidak diperkenan baginda. 

Menurut Menteri Besar, kerajaan negeri masih tidak membuat penyelarasan pindaan yang dibuat di peringkat pusat kerana beberapa faktor ibarat menarik rambut dalam tepung 'rambut tidak putus, tepung tidak berserak'. "Kita tidak membuat pindaan dahulu kerana ibarat buah yang masih putik (belum masak), jadi sekarang ini nampaknya tidak putik lagi, nampaknya dah mulai mekar, insyaAllah kita akan bersiap sedia (ke arah itu). "Kita telah lama tahu tentang perkara itu (pindaan tanpa perkenan sultan) cuma bila dia (Dr Aziz) tolong royat, alhamdulillah mempercepatkan lagi ranumnya buah itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan masjid Seri Sentosa, dekat sini, Jumaat lalu. 

Hadir sama di majlis itu Anggota Dewan Undangan Negeri Tawang, Ustaz Hassan Mahmud dan Anggota Parlimen Bachok, Wan Nik Wan Yusof. Menteri Besar yang juga Mursyidul Am mengakui turut menerima desakan daripada pucuk pimpinan PAS Pusat bagi meminda perlembagaan negeri, sebagaimana resolusi muktamar PAS di Kuala Terengganu tahun lalu. 

Katanya, sebagai pesuruhjaya negeri beliau bertanggungjawab melaksanakan keputusan yang dibuat pucuk pimpinan parti peringkat pusat. Sehubungan itu katanya, beliau menolak dakwaan kononnya pindaan perlembagaan disebabkan penarikan pingat dua anggota exco kerajaan negeri oleh Sultan Kelantan. 

"Ini (pindaan) bukan kerana masalah sehari dua ini, bukan masalah 'Sultanate Land', bukan masalah (penarikan) bintang, tidak. "Saya sebagai pesuruhjaya PAS negeri bertanggungjawab melaksana keputusan pimpinan PAS pusat yang meminta PAS negeri meminda perlembagaan negeri, cuma saya tidak buat lagi, itu masalah sayalah. "Sebab hari itu buah masih putik lagi, kalau saya buat segera ibarat saya petik buah yang masih putik, jadi sekarang nampaknya buah dah mulai mekar," tambahnya. 

Selain itu kata Menteri Besar, kerajaan negeri turut menimbang cadangan daripada anak-anak Kelantan yang berada di perantauan supaya menyegerakan pindaan itu bagi melicinkan lagi urusan pentadbiran kerajaan negeri. 

Katanya, cadangan anak-anak Kelantan yang terdiri daripada profesor, doktor, tokoh korporat serta tokoh-tokoh profesional lain meyakinkan beliau untuk mempercepatkan proses pindaan perlembagaan negeri. "Mereka ini bukan sebarang orang, semua tokoh cerdik pandai, buah fikiran mereka sangat berguna untuk saya laksanakan dalam pentadbiran kerajaan negeri. "Sebab itu kita gunakan pendekatan secara halus, supaya semua pihak tidak rugi, saya mahu rakyat terutamanya tidak rugi apabila pindaan itu dibuat kelak," katanya lagi.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan