MB Bantu Mangsa Kebakaran Pondok 

PASIR MAS, 16 Feb (Hrkh) - Kebakaran lima pondok pengajian agama untuk warga tua di kampung Padang Mukum, Tok Uban, di sini tengah malam semalam turut mendapat perhatian segera Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. 

Beliau yang masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian setelah menjalani pembedahan kecil di bahagian telinga, menyampaikan sumbangan derma peribadi bagi meringankan kesusahan mangsa kebakaran itu, melalui Setiausaha Akhbarnya, Ustaz Mohd Fauzi Zakaria. 

Sikap Tuan Guru menandakan keprihatinnya terhadap kesusahan rakyat jelata walaupun beliau dalam keuzuran. Pemangku Mudir Pondok berkenaan, Haji Ibrahim Haji Daud menerima sumbangan itu bagi pihak mangsa, semalam. Hadir sama dalam lawatan itu anggota Parlimen Tanah Merah, Haji Mohd Saupi Daud. 

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam semalam, lima pondok dan sebuah rumah kediaman hangus dalam kebakaran dipercayai berpunca daripada api sebuah dapur kayu. Salah seorang mangsa, Mek Yam Ibrahim, merasa terharu dan mengucap terima kasih atas keprihatinan Menteri Besar walaupun beliau masih berada di hospital. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kebakaran itu.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan