KeADIlan Sokong PAS Bangkit Isu Nasional 

PASIR MAS, 16 Feb (Hrkh) - Parti KeADILan Nasional memberi sokongan penuh kepada Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor yang bercadang membangkitkan dua isu peringkat nasional dalam pertemuan dengan pemimpin Umno, 19 Februari ini. 

Timbalan Ketua Perhubungan KeADILan Kelantan, Haji Mohd Saupi Daud berkata, parti itu menyokong penuh cadangan Presiden PAS untuk membangkitkan isu bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan royalti minyak Terengganu. Menurut Haji Saupi, dua isu itu amat wajar dibangkitkan memandangkan ia merupakan perkara yang berkaitan kepentingan rakyat. 

"Isu ini amat sesuai untuk dibangkitkan memandangkan antara sebab utama orang-orang Melayu meninggalkan Umno kerana membantah tindakan zalim pemecatan dan memenjarakan Anwar Ibrahim. "Jadi isu ini amat relevan dengan tema yang hendak dibawa pemimpin Umno untuk berunding bersama PAS membincangkan masalah perpecahan di kalangan orang Melayu. 

"Kes Anwar adalah antara faktor utama mengapa orang Melayu mulai membenci Umno dan pemimpin parti itu," katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa kebakaran pondok  pengajian agama untuk warga tua di kampung Padang Mukum, di sini, semalam. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar semalam mengenai cadangan Presiden PAS untuk membangkitkan isu Dato' Seri Anwar Ibrahim dan royalti minyak Terengganu dalam pertemuan perbincangan bersama Presiden Umno, 19 Februari ini. 

Dato' Fadzil yang juga Ketua Pembangkang di parlimen dilapor berkata, isu Anwar adalah isu peringkat nasional yang mempunyai hubungan dengan soal keadilan, demokrasi dan kehakiman serta diperkata banyak dan bukannya dimonopoli oleh pihak-pihak tertentu sahaja. 

Sebelum ini, Jawatankuasa Teknikal Umno turut sanggup memperluaskan skop perbincangan sebagaimana tuntutan PAS, iaitu tidak hanya terhad kepada perpaduan Melayu. Sambil berharap perbincangan itu tidak diguna untuk kepentingan politik sebelah pihak, Haji Saupi yang juga Anggota Parlimen Tanah Merah turut menyanjung tinggi hasrat Presiden PAS untuk membawa dua isu tersebut. Beliau juga berdoa perbincangan 19 Februari ini membawa hasil positif untuk kepentingan rakyat keseluruhannya. 

"Apa yang penting, asas perbincangan ini ialah keikhlasan kedua belah pihak, di pihak Umno terutamanya mereka perlu menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan PAS dengan ikhlas, jika mereka benar-benar jujur terhadap tawaran yang dikemukakan," jelasnya.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan