Waktu Kerja: Rakyat Kecewa Sikap Maik 

KOTA BHARU, 16 Feb (Hrkh) - Pelbagai pihak di negeri ini kecewa dengan sikap pihak pengurusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) yang gagal mematuhi pekeliling kerajaan negeri mengenai waktu bekerja. 

Mereka menganggap kenyataan Timbalan Yang Dipertua Maik, Dato' Yusoff Ismail yang dilaporkan berkata, waktu bekerja pada hari Sabtu dibuat untuk memudahkan orang ramai membayar zakat dianggap sebagai tidak relevan. 

Anggota Majlis, Majlis Daerah Kota Bharu, Haji Yusoff Salleh berkata, alasan yang diberi pihak pengurusan Maik tidak dapat diterima rakyat. Katanya, waktu bekerja lima hari seminggu dari jam 8 pagi hingga 4.45 petang sudah cukup memberi ruang kepada kakitangan Maik menerima zakat daripada orang ramai. 

"Saya tidak nampak relevan kenyataan yang dikeluarkan pegawai kanan terbabit, selain bersikap untuk melanggar peraturan ditetapkan kerajaan negeri. "Sepatutnya sebagai sebuah agensi yang ditubuh di bawah enakmen kerajaan negeri, mereka perlu mematuhi waktu kerja seperti diamalkan agensi-agensi lain milik kerajaan negeri," katanya. 

Maik difahamkan menerima bantuan tahunan daripada kerajaan negeri berjumlah berjuta-juta ringgit. Baru-baru ini, Dato' Yusof yang baru dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Maik menggantikan Dato' Ashaari Azmi Abdullah mengeluarkan kenyataan dipetik sebagai berkata, Maik tidak mematuhi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 8 Tahun 1995, mengenai masa bekerja mulai 1 Januari 1996, bagi menyesuaikan dengan keperluan dan perkhidmatan. 

Menurutnya, Maik telah berusaha untuk memberi ruang yang cukup bagi orang ramai membayar zakat. Haji Yusof berkata, alasan untuk memberi ruang secukupnya orang ramai membayar zakat pada hari Sabtu tidak masuk akal, kerana mereka boleh berbuat demikian pada hari-hari lain. 

Maik pernah melaksanakan peraturan bekerja sebagaimana diarahkan kerajaan negeri, namun kembali melaksanakan waktu bekerja mengikut kerajaan Pusat selepas itu. Arahan itu dibuat secara serta merta sehingga menimbulkan tanda tanya sebahagian besar dari kalangan pegawai dan kakitangan. Malah, difahamkan pernah persatuan kakitangan Maik mengemukakan pandangan tidak puas hati kepada pihak atasan berhubung penarikan balik waktu kerja mengikut kerajaan negeri.  Mereka juga pernah menemui peguam dan berhasrat mengambil tindakan undang-undang berhubung masalah tersebut. Namun, hasrat itu terbengkalai di tengah jalan memandangkan kekuatan pengaruh lain yang tidak mampu mereka hadapi di Maik. 

Sementara itu, ramai kakitangan Maik yang ditemui melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan majlis terbabit yang mengenepikan pekeliling kerajaan negeri. Rata-rata di kalangan mereka berkata, sebagai badan ditubuh di bawah enakmen kerajaan, pihak pengurusan perlu menggunapakai pekeliling kerajaan mengenai waktu bekerja. 

"Sebenarnya adalah menjadi hak kami untuk mendapat cuti dua hari seminggu kerana ia dilaksanakan kerajaan yang dipilih majoriti rakyat," kata mereka. Menurut mereka, ramai di kalangan  pegawai dan kakitangan yang sudah lama berkhidmat di Maik meletak jawatan atau berpencen awal kerana tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan. 

Presiden Persatuan Pengetua Sekolah-Sekolah Bantuan Kerajaan Kelantan, Ustaz Zulkefli Zakaria berkata, Maik sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan negeri yang lebih prihatin menjaga kebajikan pekerja dengan memberi waktu rehat selama dua hari seminggu. Katanya, tindakan yang dilakukan Maik sekarang seperti membelakangkan kerajaan negeri pilihan majoriti rakyat Kelantan. 

"Malahan pula semua pihak sekarang termasuk Cuepacs sudah lama mendesak kerajaan Pusat menerima sistem kerja lima hari seminggu seperti diamalkan kerajaan Kelantan dan Terengganu. "Apabila tuntutan seperti itu berjaya, adakah Maik sebagai agensi tunggal milik kerajaan di negara ini terus berkeras mahu bekerja lima hari setengah seminggu," katanya. 

Che Hashim Sulaima seorang kontraktor dari Gua Musang berkata, sepatutnya Maik malu dengan tindak tanduk mereka sebelum ini, yang tidak mematuhi arahan kerajaan negeri.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan