Adun Boleh Bahas Berkaitan Pindaan 

KOTA BHARU, 16 Feb (Hrkh) - Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Haji Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, anggota-anggota Dewan boleh memperkatakan mengenai pindaan perlembagaan negeri pada persidangan Dun 26 Febuari ini, biarpun tiada usul khusus mengenainya. Bagaimanapun katanya, perkara itu boleh dibahas secara umum sahaja, dan tidak boleh secara khusus, selagi belum ada usul yang dibawa pihak kerajaan kepada Dewan. 

"Melalui kaedah itu, ia tidak memberi apa-apa kesan terhadap undang-undang sebagaimana dihasrat untuk dibuat penyelarasan perlembagaan negeri dan Pusat," katanya di sini. Menurutnya, anggota-anggota Dewan boleh membahasnya secara umum, apabila ada pencadang dan penyokong yang mahu memperkatakan mengenai pindaan tersebut. Katanya, perkara itu tertakluk di bawah rang undang-undang persendirian. 

"Anggota-anggota Dewan boleh mengambil bahagian untuk memperkatakan pindaan perlembagaan, apabila perbahasan mengenai Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan dibuka. "Ini kerana rang undang-undang tersebut membabitkan banyak jabatan atau agensi milik kerajaan negeri," tambahnya. 

Bagaimanapun Wan Abdul Rahim berkata, sehingga kini beliau belum menerima sebarang notis daripada pihak kerajaan untuk membawa usul berkaitan pindaan terhadap undang-undang tubuh negeri, bagi diselaras dengan peringkat Persekutuan. Notis usul tersebut terlebih dahulu mesti dibawa kepada mesyuarat anggota Exco, sebelum dikemukakan kepada Dewan. Pihak kerajaan juga terlebih perlu mendapat pandangan daripada Penasihat Undang-Undang Negeri sebelum usul tersebut diserahkan kepada Dewan untuk dikemukakan bagi perbahasan. 

Kerajaan Kelantan dijangka tidak menghadapi sebarang masalah apabila usul tersebut dibentangkan, kerana pembangkang hanya mempunyai dua anggota sahaja iaitu dari kawasan Dewan Undangan Negeri Paloh dan Galas. Apabila dilulus usul tersebut perlu dipersembahkan kepada Sultan untuk mendapat perkenan, sebelum diwartakan. 

Wan Abdul Rahim berkata, beliau berpandangan usul tersebut mungkin tidak sempat dibahas pada persidangan Dun, 26 Febuari ini memandangkan belum menerima notis untuk berbuat demikian daripada kerajaan negeri. 

Beliau melihat persidangan Dun pada Jun depan sebagai tempoh paling sesuai untuk dibentangkan usul pindaan bagi menyelaraskan perlembagaan negeri dan Pusat mengikut Jadual Kelapan, Perlembagaan Persekutuan. 

Perkara 15 dan Perkara 39 (fasa 3), Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan belum dipinda untuk diselaraskan dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan. Pada persidangan Dun, 26 Febuari ini, dua rang undang-undang akan dibentangkan iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan yang kedua (2000) Tahun 2001, akan dibawa oleh Menteri Besar. 

Manakala rang undang-undang kedua iaitu Enakmen Yik (pindaan) Tahun 2001. Pindaan tersebut membolehkan Lembaga Tatatertib dan Lembaga Rayuan Yik diwujudkan. Wan Abdul Rahim juga berkata, empat soalan bertulis dari penyokong kerajaan akan akan dijawab pada persidangan berkenaan. Selain itu, 23 soalan dari penyokong kerajaan dan pembangkang akan dijawab pihak kerajaan.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan