Wan Abdul Aziz Wan Mahmud 

Bollywood: Saranan Mufti Disokong 

KOTA BHARU, 17 Feb (Hrkh) - Naib Ketua Dewan Ulamak PAS negeri, Ustaz Ismail Noh, menyokong saranan Majlis Mufti Se-Malaysia yang menggesa supaya stesen televisyen di negara ini mengurangkan penayangan filem-filem Bollywood yang banyak menjurus ke arah gejala negatif dalam masyarakat. 

Sehubungan itu beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri meminta pihak kerajaan pusat menimbang secara serius gesaan Majlis Mufti itu termasuk menghentikan terus penayangan filem yang boleh meruntuhkan moral masyarakat. 

Menurut beliau, penayangan filem-filem melalaikan terutama dari Bollywood patut dihentikan kerana ia banyak menyumbang ke arah keruntuhan akhlak terutama di kalangan muda-mudi termasuk pelajar-pelajar sekolah. Katanya, masyarakat di negara ini sudah banyak terdedah kepada gejala negatif yang tidak menjurus ke arah pembinaan jati diri seorang Muslim dan siaran televisyen yang melalaikan menyuburkan lagi budaya negatif kepada penonton.

"Filem-filem ini banyak merosakkan anak muda kita, merosakkan generasi umat Islam di negara ini, cukuplah dengan masalah dadah yang masih belum selesai, masalah ubat batuk lagi, apa nak jadi dengan negara kita kalau anak-anak muda hari ini rosak akhlak mereka. "Islam memang tidak mengharamkan hiburan, tapi perkara yang boleh baiki kita baiki, kalau tidak boleh baiki, patut kita buang terus, alhamdulillah kita ucap tahniah atas saranan Dato' Mufti Perak," katanya ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Pejabat PAS, di sini semalam. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kebimbangan Majlis Mufti Se-Malaysia menerusi wakilnya, Dato' Seri Harussani Zakaria terhadap filem-filem Bollywood yang didapati mudah mendorong masyarakat Islam terjebak dengan perlakuan tidak bermoral termasuk perbuatan sumbang mahram. 

Menurut Dato' Seri Harussani, penayangan filem Bollywood terlalu kerap oleh stesen televisyen banyak menjurus kepada keruntuhan akhlak umat Islam di negara ini. Penggiat-penggiat filem tanah air bagaimanapun tidak bersetuju dengan pandangan Majlis Mufti dan berpendapat penayangan filem Hindi menjadi pemangkin untuk menguatkan ikatan kekeluargaan apabila sekeluarga berkumpul menontonnya. 

Ustaz Ismail yang juga Anggota Parlimen Pasir Mas melahir kekesalan terhadap kenyataan penggiat filem tempatan dan berpendapat ia seolah-olah memperlekeh kewibawaan golongan ulamak. "Inilah kepincangan yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini, apabila suara ulamak dipinggirkan, apabila masyarakat terlalu mengagungkan golongan artis," katanya kesal.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan