Senator BN Akui Kepetahan Wakil PAS 

TANAH MERAH, 14 Feb (Hrkh) -  Umno cukup rimas dengan kehadiran empat anggota Dewan Negara dari PAS yang dianggap mampu mengugatkan kewibawaan di kalangan senator-senator Barisan Nasional (BN). 

Senator Zailah Mohd Yusof berkata, pernah seorang senator dari pihak kerajaan mengeluarkan kenyataan supaya jumlah senator dari kalangan pembangkang tidak ditambah lagi. "Senator berkenaan berkata, cukuplah empat orang sahaja dalam Dewan ini, jumlah empat orang yang ada sekarang begitu menyukarkan untuk berhadapan dengan mereka," kata Zailah. 

Empat senator terbabit iaitu dua yang mewakili Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan dan dua lagi (Dun Terengganu). Senator terbabit iaitu Hajjah Jamilah Ibrahim dan Zailah mewakili Dun Kelantan dan dua lagi mewakili Dun Terengganu, Ustaz Hassan Shukri dan Safinah Jusoh. 

Zailah berkata, kerimasan senator mewakili kerajaan BN terhadap keupayaan senator dari pembangkang cukup terasa sekarang. Malah pernah, Yang Dipertua Dewan Negara turut memuji prestasi senator dari pembangkang yang sentiasa mengambil bahagian dalam setiap perbahasan rang undang-undang. "Bahkan, bukan sahaja soalan turut dikemukakan, sebaliknya perbahasan juga kita sering mengambil bahagian," ujarnya. 

Menurutnya, sebagai anggota yang mewakili rakyat Kelantan dan Terengganu pihaknya perlu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan. Beliau berkata, sepanjang mengambil bahagian dalam perbahasan, banyak soalan-soalan yang dikemukakan tidak dapat dijawab dengan berkesan oleh menteri, timbalan menteri atau setiausaha parlimen mewakili pihak kerajaan. 

"Banyak persoalan yang dikemukakan tidak dijawab dengan tepat, bahkan ada yang tidak dijawab terus, sebaliknya mereka memburukkan kepemimpinan kerajaan negeri di bawah PAS," katanya.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan