MB Hargai Ingatan Sultan Kelantan 

KOTA BHARU, 14 Feb (Hrkh) - Sultan dan Raja Perempuan Kelantan hari ini, menghantar sejambak bunga kepada Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian. 

Tulisan yang tertera pada jambangan bunga tersebut berbunyi, 'Semoga cepat sembuh, dengan ingatan tulus ikhlas dari Sultan dan Raja Perempuan Kelantan,'. Sehubungan itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz merakamkan ucapan terima kasih kepada baginda kerana menghantar sejambak bunga kepadanya. 

"Ini memberi erti yang besar kepada saya, sekurang-kurang dapat mengiburkan hati saya dalam keadaan sekarang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wad Empat Timur, hospital berkenaan. Jambakan bunga tersebut dibawa pegawai istana pagi tadi untuk disampaikan kepada Menteri Besar. 

Selain itu, terdapat jambakan bunga lain dari kakitangan hospital terbabit. Tuan Guru dirawat di hospital tersebut sejak Ahad lalu, kerana menghadapi masalah pendengaran. Pada malam Isnin, beliau menjalani pembedahan di bahagian telinga yang mengambil masa kira-kira tiga jam. Bagaimanapun keadaan kesihatannya sekarang sudah beransur pulih. 

"Saya juga doakan semoga tuanku sihat sejahtera," katanya dalam nada sebak. Menurutnya, rakyat Kelantan sekarang berada dalam keadaan aman tenteram tanpa menghadapi sebarang masalah. Beliau berkata, keadaan tersebut sesuai dengan usaha ke arah perpaduan yang dilakukan oleh pemimpin di semua peringkat sekarang. 

Menteri Besar juga terharu di atas keprihatinan penduduk Cina, Siam dan India termasuk mereka yang sudah berumur datang menziarahinya di hospital. Katanya, mereka bersimpati terhadap apa yang dihadapinya sekarang. Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, beliau belum lagi dibenarkan keluar hospital biarpun keadaan kesihatan sudah sihat, memandangkan perlu penjagaan rapi telinganya. 

"Saya tidak dibenarkan menaiki kapal terbang dan menjawab telefon dalam masa terdekat ini. "Oleh itu, kemungkinan besar perjumpaan pemimpin tertinggi PAS menjelang pertemuan khas di antara Presiden PAS dan Umno pada 19 Febuari ini, saya tidak dapat hadir," katanya. 

Baru-baru ini, suasana agak kurang selesa berlaku di antara kerajaan negeri dan istana, apabila dua anggota Exco iaitu Ustaz Mohamed Daud dan Takiyuddin Hassan ditarik darjah kebesaran mereka. Ekoran itu, Dewan Pemuda PAS Kelantan dan Pusat mahukan pihak istana menjelaskan punca sebenar darjah kebesaran tersebut ditarik, kerana ia melibatkan imej anggota Exco terbabit. 

Kemudian, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Wan Mohamad Wan Konok menjawab bagi pihak istana, sultan berkuasa mutlak untuk menarik balik darjah kebesaran yang diberi. 

Pihak-pihak lain juga turut mengambil kesempatan bagi memperkatakan isu tersebut, sehingga ia menjadi isu besar di muka depan akhbar harian. Dewan Ulamak PAS dan Dewan Pemuda juga menganjurkan solat sunat hajat di Padang Perdana, jam 5 pagi Jumaat lalu yang dihadiri puluhan ribu rakyat Kelantan. 

Manakala Isnin lalu, Majlis Bertindak Rakyat Kelantan yang didalangi Umno menganjurkan perhimpunan di depan Istana Mahkota di Kubang Kerian bagi menyambut keberangkatan pulang Sultan dan Raja Perempuan Kelantan dari lawatan di luar negara. Perhimpunan itu dihadiri kira-kira 1,000 rakyat termasuk penasihat badan bertindak berkenaan, Dato' Paduka Ibrahim Ali.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan