KELANTAN SETUJU PKINK HENTI PROJEK RUGI 



KOTA BAHARU, 23 Dis (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Ikhtisad Negeri Kelantan (PKINK) telah bersetuju untuk menghentikan projek yang ia tidak pakar mengendalikannya bagi mengelak kerugian dan peranannya yang bertindih dengan syarikat bumiputera.

Timbalan Menteri Besar Abdul Halim Abdul Rahman berkata kerajaan Kelantan juga bersetuju dengan keputusan kerajaan pusat untuk memantau semula pentadbiran dan aktiviti PKINK bagi memastikan ia berjalan baik.

"Saya sendiri hadir pada mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun
2000 di Kuala Lumpur semalam.

Kita setuju dengan apa yang diputuskan dalam mesyuarat itu," katanya ketika dihubungi di sini, Sabtu.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan meminta semua Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) menghentikan projek yang ia tidak pakar mengendalikannya bagi mengelak kerugian dan peranannya bertindih dengan syarikat bumiputera.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 31 Okt lepas, Abdul Halim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia Negeri, berkata PKINK akan menjual beberapa anak syarikatnya yang terus mengalami kerugian.

Beliau berkata hanya 11 daripada 31 anak syarikat PKINK mencatat keuntungan berjumlah RM28.9 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis tahun lepas.

Abdul Halim berkata, PKINK juga telah bertindak menghentikan operasi dua anak syarikatnya yang terus mengalami kerugian iaitu Kelbina Holdings Berhad dan Kelrest Holding Berhad berkuatkuasa 1 Ogos lepas.

PKINK juga mengurangkan pegangan ekuiti 100 peratus kepada antara 20 dan 30 peratus terhadap Kelkraf Sdn Bhd dan Salju Sutera Travel And Tours Sdn Bhd.

Tindakan lain yang diambil oleh PKINK bagi menjamin anak-anak syarikatnya tidak terus mengalami kerugian ialah menambah bilangan golongan profesional dan teknokrat sebagai anggota lembaga pengarah kepada anak-anak syarikatnya, menstruktur semula pengurusan dan aktiviti, memotong kos, menyuntik modal dan menubuhkan Majlis Mesyuarat Eksekutif bagi memantau prestasi operasi dan kawangan syarikat.