Hutang Bertambah Selagi BN Diberi Mandat 

KUALA KRAI, 12 Feb (Hrkh) -  Rakyat negara ini akan menanggung hutang secara berterusan, sekiranya Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat mentadbir Malaysia. 

Anggota Dewan Negara, Senator Zailah Mohd Yusof berkata, sehingga kini rakyat terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM500 bilion, ekoran pelabur-pelabur asing menarik balik pelaburan mereka di negara ini. "Mereka berbuat demikian kerana tidak yakin lagi dengan suasana ekonomi dan politik yang tidak menentu di negara ini," katanya pada majlis sambutan Aidil Fitri dan ramah mesra bersama Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan isteri Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, di Markas Tarbiah PAS Kuala Krai, di sini, Sabtu lalu. 

Menurutnya, jika situasi tersebut dibiarkan, rakyat akan menanggung bebanan hutang secara berterusan. Beliau juga mendedahkan, ekoran kehilangan begitu banyak pelaburan, menyebabkan kerajaan terpaksa mencari sumber lain, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji untuk mengatasi masalah tersebut. 

Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Tanah Merah berkata, akibat terlalu mengejar pembangunan, rakyat pula yang menjadi mangsa. Beliau memberitahu, keadaan sebaliknya berlaku di negara Barat, di mana mereka tidak melakukan projek pembangunan yang tidak mendatangkan faedah kepada rakyat. 

"Pemimpin mereka lebih mementingkan ladang rakyat berbanding membina lapangan terbang dan menara tercanggih di dunia. "Sekiranya kita berpeluang melawat ke luar negara, kita akan dapati ladang rakyat yang diternak kambing biri-biri, lembu serta tanaman anggur dan epal," ujarnya. Tambah beliau, ia amat berbeza dengan pemimpin negara ini, yang ingin dipandang hebat oleh negara luar, walaupun terpaksa menghabiskan wang rakyat. Sehubungan itu, beliau turut menasihati penduduk berhati-hati dengan permainan musuh yang sering berusaha untuk mendapatkan semula negeri ini dengan pelbagai taktiknya termasuk melalui badan-badan sukarela.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan