Sidang Khas Pindaan Perlembagaan Kelantan

KOTA BHARU, 19 Feb - Kerajaan Kelantan akan mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri bagi membincangkan mengenai penyelarasan perlembagaan di antara negeri dan Persekutuan. 

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sidang khas itu dilakukan seperti biasa sebagaimana diamalkan Perdana Menteri yang mengadakan sidang khas untuk meminda perlembagaan. Oleh itu, katanya usul mengenai pindaan tersebut tidak sempat dibawa pada persidangan 26 Febuari ini. 

"Persidangan khas itu akan dibuat sebelum 30 April depan," katanya selepas mesyuarat khas Exco di Kota Darulnaim ini, pagi ini. Ekoran itu, surat menetapkan tarikh persidangan tersebut akan dihantar kepada pihak istana untuk mendapat perkenan. Bagaimanapun Menteri Besar berkata, penangguhan usul mengenai pindaan tersebut tiada kaitan dengan perjumpaan perpaduan nasional di antara pemimpin tertinggi PAS dan Umno yang dijadualkan hari ini. 

Menurutnya, persidangan Dun pada 26 Feb ini tidak sempat dibincangkan usul berkenaan kerana kesuntukan masa. Semasa Umno meminda perlembagaan pada 1993 membabitkan imuniti raja-raja Melayu, suatu sidang khas diadakan di parlimen selama tiga hari. 

Persidangan khas itu memasukkan lima peruntukan tambahan dan meminda dua peruntukan sedia ada dengan tujuan utama menghapuskan imuniti raja-raja di sisi undang-undang. Pada persidangan Dun Kelantan 26 Febuari ini, dua rang undang-undang akan dibentang iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan yang kedua (2000) Tahun 2001 dan Rang Undang-Undang berkaitan Yik (pindaan) Tahun 2001. Manakala empat soalan bertulis akan dijawab pihak kerajaan bersama 23 lagi soalan lisan. 

Sementara itu, pelbagai pihak mengalu-alukan keputusan kerajaan negeri mengadakan sidang khas untuk melakukan pindaan terhadap undang-undang Tubuh Negeri Kelantan. Seorang peniaga dari Kuala Krai, Wan Hassan Wan Yusof berkata, pindaan itu perlu disegerakan bagi mengurangkan gangguan istana dalam jentera pentadbiran kerajaan negeri. Katanya, pindaan yang dibuat hanya sekadar untuk menyelaras dengan peringkat Pusat yang sudah dilakukan Umno sejak 1993 lagi. 

Yusof Ismail dari Rantau Panjang turut menyokong penuh hasrat kerajaan negeri meminda perlembagaan negeri. Seorang lagi peniaga dari Kota Bharu, Musa Amin turut melahirkan rasa gembira terhadap keputusan kerajaan negeri menyelaraskan perlembagaan negeri dengan Pusat. 

Sehingga kini dua artikel yang belum dilulus peringkat Dun Kelantan bagi menyelaras dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan. Antara artikel yang belum dipinda iaitu Perkara 15 dan Perkara 39 (3) berkaitan perkenan rang undang-undang selepas 30 hari tetap akan menjadi undang-undang, biarpun tidak diperkenan. Selain itu, istilah nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terhadap sultan perlu diperjelaskan lagi. 

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan