YAB TUAN GURU HJ NIK ABD. AZIZ  DUKACITA TINDAKAN HALANG BERCERAMAH DI MASJID

 
 
 

KOTA BAHARU, 25  -- Menteri Besar Kelantan YAB Tuan Guru Dato' Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tindakan beberapa pemimpin negeri melarang pemimpin parti pembangkang berceramah di surau dan masjid adalah mendukacitakan.

Tindakan itu boleh menghalang dakwah Islam di kalangan umat Islam negara ini, kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan kempen kebersihan peringkat negeri di sini Rabu.

Kempen itu merupakan sebahagian daripada program sambutan ulang tahun ke-10 kerajaan Kelantan pimpinan Pas melaksanakan dasar "Membangun Bersama Islam."

Tuan Guru Hj. Nik Ab. Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata semua pihak perlu bersikap terbuka dengan membenarkan mereka yang berpengetahuan agama untuk menggunakan masjid dan surau bagi mendidik masyarakat melalui tazkirah.

Akhbar semalam melaporkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata kerajaan Perak bercadang melaksanakan larangan itu kerana mendapati parti pembangkang menggunakan surau dan masjid untuk menyampaikan ceramah politik.

Sebelum ini kerajaan Selangor telah mengumumkan larangan itu.

Terdahulu, dalam ucapannya Tuan Guru yang pernah menegur rakyat Kelantan sebagai penduduk yang "kurang peka" dengan amalan kebersihan, berharap kempen itu dapat menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat.

"Bila banyak-banyak kali kempen diharap ada kesannya. Setiap aksi ada reaksinya," katanya.