Kakitangan Bank Islam Bantu Anak Yatim

KOTA BHARU, 11 Jan (Hrkh) - Seramai 130 anak yatim dari Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan menerima sumbangan zakat daripada kakitangan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) cawangan Wakaf Siku.

Pengurus cawangan BIMB, Haji Mokhtar Ismail berkata kesemua kanak-kanak itu merupakan penghuni Rumah Puteri Harapan Kota Bharu dan Rumah Putera Harapan Ummi Halimah, Tumpat. Katanya, sumbangan tersebut adalah antara aktiviti BIMB terhadap masyarakat sebagai tanda keprihatinan kakitangan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

"Kita sentiasa mengamalkan konsep dua hala iaitu perkhidmatan untuk pelanggan, di samping itu kita juga turut turun ke padang memberi khidmat termasuk pengagihan wang zakat kepada golongan yang tidak bernasib baik," katanya di majlis penyampaian zakat dan majlis Hari Raya Aidil Fitri BIMB bersama pelanggan di sini, pagi ini.

Turut hadir Pengurus BIMB Kawasan Timur, Haji Syukri Yaacob, Pengetua Rumah Puteri Harapan, Haji Wan Abdullah Wan Abdul Kadir, pegawai serta kakitangan BIMB.

Sementara itu, Wan Abdullah menghargai sumbangan BIMB serta daripada pelbagai badan korporat yang banyak membantu golongan tidak bernasib baik khususnya anak-anak yatim.

 "Golongan ini memerlukan perhatian terutama daripada syarikat korporat, dan sumbangan seperti ini amat kami alu-alukan," katanya. Sehubungan itu, orang ramai yang ingin bersama membantu yayasan tersebut boleh menghubungi talian 09 7735 494.