Pembinaan LebuhRaya Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang Pemangkin Kepada Pembangunan Pertanian dan Pelancongan Lojing, Gua Musang Kelantan

Pembinaan lebuhraya Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang- Kuala Berang dijangka akan memesatkan lagi pertumbuhan dan pembangunan terutamanya pertanian dan pelancongan di kawasan Kelantan Selatan meliputi tanah tinggi Lojing di Gua Musang yang hampir dengan Blue Valley, Cameron Highland. 

Pembinaan Lebuhraya tersebut yang dijadualkan siap pada awal tahun 2003, dijangka akan menjadi nadi perhubungan utama antara Gua Musang-Cameron Highland dan juga Kota Bharu-Kuala Lumpur. Pada masa ini, Lojing hanya boleh dihubungi dari Gua Musang melalui jalan tar sepanjang 20 km diikuti jalan tanah sepanjang 104 km. Selain itu, ia juga boleh dihubungi melalui lebuhraya Timur Barat-Grik, Perak ke Jalan Tapah - Cameron Highlands (35 km) termasuk 7 km dari jalan tanah Blue Valley.  Lebuhraya baru ini akan memendekkan perjalanan melalui jalan raya antara Gua Musang-Lojing-Cameron Highland dan juga bakal menjadi jalan alternatif yang baru kepada pengguna yang sering berulang alik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. 

Sesuai dengan Lojing yang telah diwartakan sebagai Taman Kekal Pengeluran Makanan oleh Kementerian Pertanian meliputi kawasan seluas 10 hektar, ia dijangka akan memangkin ransangan ekonomi pertanian komersial yang akan menjadikan kawasan Lojing setanding dengan kawasan pertanian Cameron Highland di Pahang.  Selain itu, usaha Kerajaan Negeri Kelantan bagi menjadikan negeri ini sebagai negeri Jelapang Makanan Utama negara dijangka akan tercapai dengan jayanya. Kerajaan Kelantan juga dijangka akan meluluskan lebih banyak kawasan tanah di Lojing untuk dijadikan kawasan pertanian komersial melalui usaha dan program Pembangunan Usahawan Belia Tani yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian Negeri Kelantan. 

Kerajaan Kelantan juga telah berhasrat mewujudkan satu daerah kecil yang tersendiri bagi kawasan Lojing, di samping menjadikan sebahagian kawasannya sebagai Green Valley setaraf dengan Blue Valley di Pahang Perkara tersebut disebut oleh YB Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Hj. Abd. Halim Abd. Rahman semasa merasmikan Pelancaran Program Usahawab Belia Tani di TKPM Lojing, 26 Julai lalu.  Menurut beliau, Kerajaan Negeri telah lama mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Pusat bagi menjadikan kawasan Lojing sebagai sebuah daerah kecil yang mempunyai oragnisasi pentadbirannya yang tersendiri. 

Usaha-usaha tersebut akan menjadi lebih mudah dengan siapnya lebuhraya itu nanti. Kerajaan Kelantan juga akan membangunkan kemudahan infrastruktur lain yang boleh memajukan Lojing  sehingga ke taraf menjadikannya sebagai satu lokasi strategik pelancongan pada masa hadapan. Sesuai dengan kedudukannya di ketinggian 2800 hingga 3150 kaki dari aras laut dan suhu antara 18 hingga 27 darjah celcius,  dengan cuaca sederhana sejuk, ia bakal menjadi tumpuan utama pelancongan Kelantan setanding dengan Cameron Highland.