5,000 kakitangan Kelantan nikmati bonus

KOTA BHARU, 21 Dis (Hrkh) - Kira-kira 5,000 kakitangan kerajaan negeri akan menikmati bonus menjelang sambutan Hari Raya Aidil Fitri ini, kata Timbalan Menteri Besar, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman.

Katanya, bonus itu dibayar selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 18 Tahun 2000 yang dikeluarkan kerajaan Persekutuan.

Kakitangan kerajaan negeri yang berpendapatan kurang RM1,000 sebulan akan menerima bonus sebanyak RM500 dan kakitangan berpendapatan lebih RM1,000 sebulan diberi bonus setengah bulan gaji.

"Ekoran itu kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM3.5 juta bagi membayar bonus tersebut. "Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat Exco hari ini," katanya di sini semalam.

Baru-baru ini, kerajaan Persekutuan mengumumkan pemberian bonus kepada kira-kira 800,000 kakitangan awamnya.

Abdul Halim juga berkata, kakitangan lantikan politik juga akan menikmati bonus yang sama sedikit masa lagi. Bagaimanapun pemberian itu kemungkinan akan dibuat selepas sambutan Hari Raya Aidil Fitri memandangkan kertas cadangan belum lagi diangkat kepada mesyuarat Exco.

Menurutnya, kakitangan lantikan politik termasuk mereka yang berkhidmat di Pusat Kajian Strategik, Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, penghulu dan kakitangan Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan akan menikmati faedah yang sama dengan kakitangan awam lain.

Sementara itu, kakitangan kerajaan negeri melahirkan rasa syukur dan berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan negeri memberi bonus menjelang sambutan Hari Raya Aidil Fitri.

Mereka berkata, bonus itu juga merupakan satu insentif yang cukup penting untuk membeli kelengkapan persekolahan anak-anak.

"Kerajaan Kelantan biarpun tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak, namun tetap prihatin terhadap nasib kakitangannya," kata seorang kakitangan di Kota Darulnaim