Make your own free website on Tripod.com
Pengguna Pertikai Caj Tambahan TNB

KOTA BHARU, 16 Jan (Hrkh) - Pengguna-pengguna elektrik di negeri ini melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mengenakan caj tambahan bil sehingga membebankan mereka. Mereka mendakwa tidak sepatutnya TNB mengenakan caj tambahan begitu tinggi, biarpun bayaran bil sudah dijelaskan sebelum pemotongan bekalan elektrik dilakukan. Pengguna dikenakan caj tambahan sebanyak RM10 biarpun sudah dijelaskan bil terakhir dalam tempoh 15 hari, sebelum bekalan elektrik dipotong.

Seorang pengguna dari Bachok, Zakaria Che Awang berkata, beliau pernah menemui pegawai TNB untuk mendapatkan penjelasan mengenai tambahan caj yang dikenakan. "Berdasarkan penjelasan pegawai terbabit, jelas sekali TNB kerap mengenakan bayaran tambahan sebanyak RM10 kepada pengguna yang menerima notis pemotongan," katanya yang juga Penolong Setiausaha Persatuan Pengguna-Pengguna Kelantan. Menurutnya, bil elektrik yang dihantar ke rumahnya dicatat sebanyak RM71.39, namun terpaksa membayarnya di kaunter TNB sebanyak RM76.82.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa TNB masih mengenakan caj tambahan kepada pengguna yang membayar bil dalam tempoh ditetapkan. Beliau juga menghantar aduan mengenai masalah itu kepada Pengurus Besar, TNB di Kuala Lumpur dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Sementara itu, seorang pengguna di Pengkalan Chepa yang enggan mendedahkan identitinya berkata, beliau sering dikenakan caj tambahan biarpun menjelaskan bil mengikut masa ditetapkan. Malah katanya, pembaca meter pernah membuat bacaan melebihi tahap kebiasaan sehingga sering menimbulkan keraguannya.

"Apa yang mendukacitakan pembaca meter terbabit tidak terus menghulurkan bil kepada pengguna, sebalik pulang ke pejabat dan mengposkan kembali bil terbabit. "Ini sesuatu yang pelik memandangkan pengguna masih berada di premisnya sewaktu catatan bil dibuat," katanya.