Tarik Pingat Satu Penghinaan - Mahfuz

KOTA BHARU, 27  Jan (Hrkh) – Penarikan balik darjah kebesaran yang dikurniakan Sultan Kelantan kepada dua anggota Exco disifatkan sebagai satu penghinaan kepada rakyat negeri ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar berkata,   perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku sekiranya pertimbangan rasional  diambil kira.

Katanya, perkara yang berlaku itu adalah sesuatu yang cukup pelik dan jarang terjadi sebelum ini.

“Benda-benda pelik ini, biasanya berlaku di Kelantan, di mana sebelum ini ada pemimpin yang mengelarkan Dr Mahathir sebagai Wira Adi Jagat Dunia Ketiga,” katanya pada ceramah di Taman Guru di sini, malam tadi.

Hadir sama pada ceramah itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Takiyuddin Hassan dan Adun Meranti, Ustaz Nasaruddin Daud.

Orang ramai bersesak-sesak untuk mengikuti ceramah tersebut, berikutan tersiar berita mengenai penarikan balik darjah kebesaran dua anggota Exco, oleh Sultan Kelantan.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan pingat dua Exco, iaitu Ustaz Mohamed Daud dan Takiyuddin ditarik balik oleh Sultan, tanpa memberitahu sebab-sebabnya.

Menurut laporan akhbar penarikan balik itu dipercayai ekoran bantahan mereka terhadap permohonan tanah oleh istana, pada mesyuarat khas mengenai perkara tersebut pada 7 Januari lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Wan Mohamad Wan Konok menafikan penarikan balik pingat tersebut  berpunca dari isu permohonan tanah oleh pihak istana.

Sidang akhbar khas diadakan di Istana Balai Besar pada petang Khamis lalu, yang dihadiri Pengelola Istana, Jamil Mohamad, Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Serpudin Mohamad, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian, Dato’ Mohd Yusof Noh, Ketua Penolong Setiausaha Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ghani Ismail dan bekas Timbalan Yang Dipertua Maik, Dato’ Nik Ishak.

Pada sidang media yang tertangguh sehingga lebih setengah jam itu, Wan Mohamad menjelaskan, Sultan Kelantan sejak menduduki takhta tidak pernah memohon biarpun seinci tanah daripada kerajaan negeri.

Pengarah PTG turut menafikan adanya permohonan tanah biarpun seinci dari pihak istana sebagaimana dimaksudkan oleh akhbar.

Nik Ishak juga turut menafikan perkara itu, dengan merujuk ketika beliau memegang jawatan pengelola istana, tidak pernah berlaku permohonan tanah dari pihak istana.

Jamil pula memberitahu beliau dititahkan oleh baginda sultan untuk menafikan sebab-sebab penarikan balik darjah kebesaran itu bukan berpunca daripada bantahan permohonan tanah oleh pihak istana seperti dilaporkan akhbar.

Bagaimanapun menurutnya, beliau tidak mengetahui sekiranya ada pihak-pihak tertentu menggunakan nama istana untuk mendapatkan tanah seperti dimaksudkan.

Wan Mohamad berkata, beliau juga tidak mengetahui sekiranya ada syarikat-syarikat tertentu menggunakan nama baginda sultan untuk memohon tanah tersebut yang merupakan hutan simpan kekal.

Pegawai-pegawai kanan kerajaan yang berada di sidang media itu kelihatan tercari-cari jawapan pada awalnya, sehingga terpaksa berbisik di antara mereka ketika menjawab soalan-soalan wartawan.

Malah, ketika wartawan menunggu dalam tempoh begitu lama, Wan Mohamad dan rakan-rakannya masuk meminta rakaman media elektronik tidak dibuat secara ‘life’, sambil menolak ketepi mikrofon milik RTM.

Bagaimanapun selepas itu, beliau menanyakan pula jam berapa berita penafiannya yang mewakili pihak istana boleh disiarkan. Wan Mohamad juga hanya mahu gambar-gambar secara rakaman sahaja dan bukannya life.

Wartawan cuba menanyakan soalan asas iaitu sebab-sebab penarikan darjah kebesaran terhadap dua anggota Exco dibuat, Wan Mohamad berkata, perkara itu adalah hak mutlak sultan dan tidak perlu diberi apa-apa alasan.

“Sultan mempunyai kuasa mutlak hendak menarik bila-bila masa darjah kebesaran yang diberi kepada seseorang,” katanya.

Takiyuddin sebelum ini menerima darjah kebesaran Ahli Setia Kelantan dan Ustaz Mohamed (Setia Mahkota Kelantan). Mereka sudah memulangkan pingat tersebut apabila surat dari istana yang bertarikh 9 Januari lalu, diterima.

Pada sidang media sama, Wan Mohamad cuba mempertikaikan pelantikan orang politik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).

Menurutnya, pelantikan orang politik memegang jawatan tersebut boleh dibuat, dengan syarat bukan terdiri daripada Adun.

Baru-baru ini, Adun Wakaf Bharu, Haji Ramli Abu Bakar dilantik sekali lagi sebagai YDP MPKB, biarpun terdapat perkhabaran Pegawai Tadbir Negeri mahukan jawatan tersebut diserahkan kepada mereka.

Jamil pula membangkitkan dakwaan, ada orang politik tertentu yang menggunakan nama istana untuk memohon tanah bagi kepentingan mereka.

Katanya, dakwaan itu dibuat berdasarkan kepada semakan pada borang 49, di pejabat Pendaftar Syarikat.

Mahfuz berkata, apa yang dilakukan dua anggota Exco terbabit adalah untuk mempertahankan hak-hak rakyat.

Menurut Ustaz Nasaruddin, kedua-dua pemimpin yang ditarik balik darjah kebesaran adalah dianggap sebagai wira bagi rakyat Kelantan.

“Penilaian daripada Allah adalah lebih penting terhadap setiap usaha yang dilakukan dan bukannya untuk mendapat bintang kebesaran. Dan apa yang lebih diutamakan di sisi Allah ialah ketaqwaan,” katanya.

Bekas Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mazlan Ibrahim berkata, pegawai kanan kerajaan negeri mencampuri urusan politik apabila terlibat secara langsung dengan isu tersebut.

Katanya, sepatutnya penjelasan dari pihak istana dibuat oleh pegawai yang bertugas di institusi tersebut sahaja dan bukannya pegawai dari Kota Darulnaim.

Mahfuz juga berkeyakinan isu tersebut akan dapat ditanggani oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan sebaik mungkin.