Dr Khir Patut Tiru Radio Thai

TANAH MERAH, 29 Jan - Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo digesa melawat Thailand dan belajar dari kerajaan negara itu mengenai konsep sebenar demokrasi.

Anggota Parlimen Tanah Merah, Haji Mohd Saupi Daud berkata, negara jiran itu ternyata lebih bersifat demokrasi apabila menghormati pemimpin kerajaan negeri yang dipilih rakyat. Katanya, Dr Khir sepatutnya merasa malu kepada kerajaan Thailand kerana negara itu ternyata lebih bersikap terbuka dan mengiktiraf kerajaan pilihan rakyat.

"Thailand bukan sebuah negara Islam, tetapi mereka ternyata lebih terbuka, Khir Toyo patut malu apabila kuliah agama Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat disiar oleh salah sebuah stesen radio negara itu, Royal Thai Army (RTA). "Mengapa RTA menyiarkan ceramah Tuan Guru, ketika kerajaan Selangor melarang beliau menyampaikan ceramah agama di negeri itu?" soalnya.

Baru-baru ini, satu perjanjian diadakan antara RTA dan Unit Audio Visual Badan Perhubungan PAS Kelantan untuk menyiarkan tazkirah agama Menteri Besar Kelantan melalui rangkaian radio milik anak syarikat TV5 kerajaan Thai itu. Siaran hampir sejam itu boleh didengar melalui gelombang 92.5 mHz, mulai jam 2.10 hingga 3 petang setiap hari Ahad.

Haji Saupi yang juga Timbalan Ketua KeADILan Kelantan melahir rasa kesal, kerana larangan oleh kerajaan Selangor itu bukan saja menafikan hak rakyat Selangor untuk menimba ilmu agama daripada seorang ulamak terkenal bahkan menyekat kebebasan seorang ulamak untuk menyampaikan ilmu agama.

"Kerajaan Selangor patut mengkaji balik larangan ini, kerana ia bukan saja mencemarkan imej Umno, bahkan menambahkan lagi kebencian rakyat kepada pemimpin parti itu," katanya.

Kerajaan Selangor melalui Pengarah Jabatan Agama Islamnya, Haji Mansur Ramli menghantar surat bertarikh 10 Oktober 2000 kepada Menteri Besar Kelantan untuk memaklumkan larangan berceramah agama di seluruh masjid dan surau di negeri berkenaan.