Kenaikan elaun Adun Kelantan ditangguh

KOTA BHARU, 20 Dis (Hrkh)
- Kerajaan Kelantan menangguh penyelarasan kenaikan elaun sebanyak 10 peratus bagi anggota-anggota Dewan Undangan Negeri (Adun).

Timbalan Menteri Besar, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman berkata, penangguhan itu dibuat untuk memperlihatkan Adun-Adun Kelantan tidak mengutamakan kebendaan semata-mata.

"Kita tidak mahu Kelantan melakukan perkara yang serupa seperti dilakukan negeri-negeri lain sekarang," katanya selepas mesyuarat Exco, semalam. Menurutnya, kerajaan Kelantan tidak mahu perkara sama berlaku di negeri-negeri lain turut berlaku di negeri ini sekarang.

Beliau berkata, pada mesyuarat Exco semalam, kertas mengenai perkara itu ditangguhkan perbincangannya. Sebelum ini, kerajaan Persekutuan mengumumkan kenaikan elaun sebanyak 10 peratus bagi wakil-wakil rakyat.

"Bagaimanapun kenaikan elaun itu bagi Adun Kelantan akan dibuat pada masa yang difikirkan sesuai pada akan datang," katanya. Dewan Undangan Negeri Kelantan sekarang mempunyai 43 ahli dan dua daripadanya, wakil rakyat dari Barisan Nasional.

Wakil rakyat berkenaan iaitu Norzula Mat Diah mewakili Dun Paloh dan Mohd Saufi Deraman (Galas). Bagaimanapun sehingga kini mereka tidak memainkan peranan aktif pada setiap kali persidangan Dun diadakan